PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya sekolah di kawasan-kawasan yang terjejas akibat jerebu ditutup bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin.
Keprihatinan itu susulan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang secara berpanjangan mencatatkan bacaan di antara 150-180 sejak beberapa hari lalu.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga prihatin terhadap isu keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar sekolah dan baginda menitahkan supaya kedua-dua aspek itu diberi keutamaan.
Baginda juga bertitah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) supaya memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Kelmarin, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari di atas titah Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri berkenaan.
Setakat pukul 6 petang semalam, 38 kawasan di seluruh negara terjejas akibat jerebu apabila mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat yang berpunca daripada kebakaran hutan tidak terkawal di Indonesia.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersetuju untuk mengambil langkah sepatutnya bagi mengatasi masalah jerebu yang mengakibatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia semakin membimbangkan.
Anwar memaklum persetujuan itu diberikan Probowo selepas beliau menghubungi Presiden Indonesia itu bagi membincangkan masalah jerebu baru-baru ini.
Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan keadaan jerebu di negara ini berada pada tahap membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Berkaitan jerebu, ia memang berada pada tahap membimbangkan. Saya sudah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo dan beliau juga bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu.
“Pada masa sama, Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Menteri (Sumber Asli dan Kelestarian Alam) Alam Sekitar (Datuk Seri Arthur Joseph Kurup) juga menghubungi rakan sejawat mereka,” katanya ditemui pada Hari Tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. – UTUSAN











