JAKARTA: Polis Indonesia mengumumkan rampasan 378 kilogram syabu, lebih 200,000 biji pil ekstasi dan beribu-ribu kartrij mengandungi etomidate dalam satu operasi besar-besaran membanteras narkotik di wilayah Riau, lapor laman berita Jakarta Globe.
Pihak berkuasa turut menahan lima suspek disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah beroperasi dari Malaysia.
Pengarah Jenayah Narkotik Polis Nasional Indonesia, Brigedier Jeneral (polis) Kristian Parluhutan Siagian berkata, dadah dirampas yang dipercayai untuk edaran di seluruh Pulau Sumatera menjelang musim cuti akhir tahun itu dianggarkan bernilai 1 trilion rupiah (RM245 juta).
Selain syabu, polis turut merampas 200,252 biji pil ekstasi dan 11,752 kartrij berisi cecair etomidate, bahan yang digunakan dalam perubatan sebagai ubat bius tetapi turut dikaitkan dengan penggunaan dadah haram.
“Kerajaan boleh menjimatkan kos pemulihan penagih sebanyak 2.15 trilion rupiah (RM526 juta) dengan menghalang dadah ini sampai kepada orang ramai,” kata Kristian pada sidang akhbar di Jakarta semalam.
Menurutnya, siasatan bermula awal bulan ini menerusi pertukaran maklumat risikan dan penyelarasan usaha antara pihak berkuasa Indonesia serta Malaysia untuk mengenal pasti dan memetakan rangkaian penyeludupan tersebut.
Pasukan penyiasat menumpukan siasatan di Riau, wilayah bersempadan dengan Selat Melaka, sebelum melancarkan operasi besar-besaran pada 13 November lalu yang membawa kepada tangkapan tersebut.
“Dadah ini untuk edaran di Sumatera bagi kegunaan semasa musim cuti akhir tahun tetapi kami berjaya menyekatnya,” kata Kristian.
Menurut polis, semua lima suspek bertindak sebagai kurier dan bertanggungjawab membungkus dadah untuk edaran. Pihak berkuasa mendedahkan identiti mereka melalui singkatan nama sahaja.
Suspek keenam yang dipercayai dalang utama operasi penyeludupan itu bagaimanapun masih bebas.
Kelima-lima suspek berdepan pertuduhan di bawah Undang-Undang No. 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik dan peruntukan Kanun Keseksaan. Polis berkata, mereka boleh dijatuhi hukuman mati jika didapati bersalah. – AGENSI








