PONTIAN: Ibu kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Parit Haji Siraj, di sini, sudah memaklumkan sesi persekolahan semalam ditutup, namun dua anaknya berkeras mahu ke sekolah sebelum maut dalam kemalangan.
Julaiha Munaji, 43, berkata, tiga beradik itu yang menunggang sebuah motosikal terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kira-kira 200 meter dari kediaman keluarga mereka.
“Saya cakap sekolah tutup, tidak dibuka, tetapi dua anak saya, Nor Danial Fikri Nor Lizan, 11, dan Puteri Naufa Raisha Nor Lizan, 8, berkeras mahu ke sekolah malah menyiapkan kerja sekolah pagi tadi (semalam).
“Abang mereka, Nor Danial Aiman Nor Lizan, 18, yang menghantar mereka ke sekolah dan tidak lama kemudian saya dimaklumkan orang kampung anak-anak saya terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kayu Ara Pasong, di sini, semalam.
Ibu kepada enam anak itu berkata, ketiga-tiga anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kemalangan berlaku.
“Tiada sebarang perubahan sikap, kecuali kedua-dua anak yang kecil tidur bersama saya malam tadi (semalam).
“Empat bulan lalu saya patah tangan akibat kemalangan, jadi abang mereka yang hantar ke sekolah untuk memenuhi permintaan mereka. Abangnya sedang menunggu keputusan untuk memasuki GiatMARA,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian mengesahkan kejadian berkenaan. – UTUSAN











