Myanmar tanggung sendiri kos bawa pulang rakyat - Utusan Malaysia

Myanmar tanggung sendiri kos bawa pulang rakyat

ANWAR Ibrahim mengiringi Min Aung Hlaing untuk jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sempena lawatan kerja Presiden Myanmar ke Malaysia semalam. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Myanmar mahu meneruskan program repatriasi rakyatnya termasuk sekitar 3,000 hingga 4,000 individu yang masih berada di depot dan sanggup menanggung kos penghantaran pulang mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sangat sedikit malah hampir tiada negara yang sanggup menerima proses repatriasi rakyat mereka dalam jumlah yang besar dengan menanggung kos seperti yang telah ditunjukkan negara itu.

“Isu kedua yang menjadi kebimbangan ialah repatriasi rak­yat Myanmar.

“Ramai antara kita mungkin tidak menyedari bahawa sangat sedikit, malah berdasarkan pengalaman saya, hampir tiada negara yang sanggup menerima proses repatriasi rakyat mereka dalam jumlah yang besar de­ngan menanggung kos sendiri seperti yang telah ditunjukkan oleh Myanmar.

“Justeru, sebagai sebuah kerajaan, sudah tentu kami perlu merakamkan penghargaan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Myanmar Min Aung Hlaing di bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Pada 29 September lalu, Malaysia melaksanakan program penghantaran pulang fasa pertama melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar.

Anwar berkata, setakat ini seramai 10,493 warga Myanmar telah dihantar pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut, selain merakamkan penghargaan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas kerjasama dalam proses berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan Myanmar turut menyatakan kesediaan menerima rakyatnya yang masih berada di Malaysia, tertakluk kepada rekod yang ada serta perbincangan dan rundingan lanjut antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan rakan sejawat.

“Presiden telah menyatakan bahawa mereka yang masih berada di sini, tertakluk kepada rekod yang ada, akan dibincangkan dan dirundingkan selanjutnya oleh KDN dengan rakan sejawatnya.

“Presiden juga bersedia menerima mereka mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.

“Jadi, saya mesti mengucapkan terima kasih,” katanya.

Anwar berkata, setiap individu yang dikenal pasti berasal dari Myanmar perlu melalui proses pengesahan termasuk menentukan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah semasa atau sebaliknya.

“Anda juga menyebut bahawa mereka yang berada di depot, sekitar 3,000 hingga 4,000 orang akan dihantar pulang.

“Mana-mana individu yang dapat disahkan sebagai berasal dari Myanmar, sudah tentu perlu melalui proses pengesahan, termasuk menentukan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah semasa atau sebaliknya.

“Kita perlu menghormati prosedur tersebut,” katanya.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan penghargaan terhadap keterbukaan Myanmar dan kesediaannya untuk bekerjasama dalam proses repatriasi rakyat negara itu.

“Namun, sekali lagi saya ingin menegaskan penghargaan saya atas keterbukaan anda dan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini