Enggan berpisah keluarga, pasangan punca doktor tidak lapor diri

Enggan berpisah keluarga, pasangan punca doktor tidak lapor diri

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enggan ber­pisah dengan keluarga dan ma­hu dekat kepada pasangan, antara faktor lebih 3,500 doktor yang ditawarkan lantikan tetap oleh Kementerian Kesihatan (KKM) tidak melaporkan diri di Sabah dan Sarawak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, hanya 673 pegawai perubatan daripada 4,255 penempatan pelantikan tetap yang ditawarkan Kementerian Kesihatan (KKM) direkodkan melaporkan diri.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 337 daripada 527 orang melapor diri di Sarawak sementara 336 daripada 528 lagi melaporkan diri di Sabah.

Menurutnya, tidak bersedia bertugas di kawasan pedalaman antara alasan dikenal pasti yang menyebabkan le­bih 3,500 pegawai perubatan tersebut menolak tawaran pelantikan tetap.

Selain itu, faktor berjauhan dengan keluarga, tidak boleh berjauhan dengan pasangan dan lebih berminat bertugas di fasiliti kesihatan di kawasan bandar.

“Pegawai perubatan juga berpandangan mereka tidak mempunyai peluang kerjaya yang baik sekiranya berkhidmat di luar bandar dan pedalaman.

“Ada juga alasan mereka ­ingin menjaga ibu bapa dan adik-beradik, menghidap mas­alah kesihatan, masalah logistik, kewangan peribadi serta kos perpindahan yang tinggi.

“Antara faktor lain adalah persepsi kurang peluang me­lanjutkan pengajian kepakaran jika ditempatkan di Sabah dan Sarawak serta kerisauan me­ngenai hala tuju kerjaya dan peluang untuk bertukar se­mula ke Semenanjung ataupun wilayah asal mereka,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai kadar gagal lapor diri tinggi melibatkan 4,255 pegawai perubatan di Sabah dan Sarawak yang berakhir kelmarin.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, peratus pegawai perubatan yang melapor diri di kedua-dua negeri itu adalah 63 peratus daripada jumlah penempatan yang ditawarkan dengan berlaku sedikit peningkatan berbanding 42 peratus pada 2025.

Dzulkefly berkata, bagi menggalakkan pegawai perubatan melapor diri di negeri itu, kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak akan diteliti dan dilaksanakan.

“Elaun Pertukaran layak diterima adalah pada kadar 100 peratus merangkumi elaun makan, bayaran sewa hotel atau elaun lojing, tambang perjalanan dan tambang pengangkutan barang.

“Semasa bertukar kembali ke wilayah asal, pegawai perubatan juga layak menerima elaun gangguan dengan kadar sebulan gaji hakiki pegawai dan memberi merit tambahan bagi yang pernah berkhidmat di Sabah dan Sarawak dalam pertimbangan tawaran program latihan kepakaran dan cuti belajar di KKM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini