UKM batal status UKMShape sebagai unit perniagaan strategik

UKM batal status UKMShape sebagai unit perniagaan strategik

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membatalkan status UKMShape sebagai unit perniagaan strategik (SBU) susulan isu tadbir urus dan pengurusan kewangan yang dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

UKM dalam kenyataan berkata, UKMShape turut distruktur semula sebagai Pusat Tanggungjawab (PTj) universiti manakala pengurusan kewangannya dipusatkan di bawah Jabatan Bendahari bagi memperkukuh kawalan dan pemantauan kewangan.

Menurutnya, langkah itu antara tindakan pembetulan yang dilaksanakan sejak Julai tahun lalu, sebelum laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibentangkan kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan penemuan dan syor yang dikemukakan menerusi LKAN tersebut, UKM telah pun mengambil tindakan pembetulan serta melaksanakan beberapa inisiatif strategik dan penambahbaikan secara berperingkat sejak Julai 2025,” katanya.

UKM menjelaskan, isu yang dibangkitkan PAC bukan perkara baharu sebaliknya telah dikenal pasti menerusi LKAN yang dibentangkan pada Julai tahun lalu dan Februari lalu.

Selain itu, universiti berkenaan turut menubuhkan Jawatankuasa Ad Hoc Tadbir Urus (AHGC) dan melantik perunding bebas bagi menilai amalan tadbir urus, pengurusan kewangan serta perolehan universiti.

Fungsi Pusat Integriti dan Ombudsman serta Pejabat Penasihat Undang-undang turut diperkasa bagi memperkukuh mekanisme pengawasan, integriti dan akauntabiliti universiti.

UKM turut membangunkan Kod Tatakelakuan UKM dan panduan The UKM Way bagi memperkukuh budaya kerja berteraskan integriti dan profesionalisme.

“UKM menghormati peranan PAC sebagai mekanisme semak dan imbang Parlimen.

“Setiap syor PAC akan diteliti bagi memperkukuh lagi tindakan penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan susulan LKAN,” katanya.

Dalam pada itu, UKM menegaskan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan tadbir urus universiti yang baik serta memelihara kepercayaan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini