PUTRAJAYA: Kajian sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati masih wujud kelompangan dalam mekanisme subsidi minyak masak paket yang berpotensi menyumbang kepada ketirisan.
Kumpulan itu mendedahkan wujud amalan penipuan label dan kandungan produk yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan.
Ketua penyelidik berkenaan, Dr. Nur Atheefa Sufeena M Suaree berkata, hasil kajian lapangan mendapati terdapat kelemahan kawalan dalam mekanisme subsidi minyak masak yang perlu ditambah baik bagi memastikan manfaat subsidi sampai sepenuhnya kepada pengguna.
Berita berkaitan:
Katanya, isu kebocoran dan ketirisan subsidi minyak masak bukan perkara baharu apabila media sebelum ini turut melaporkan kelemahan di peringkat syarikat pembungkusan, termasuk berkaitan penipuan label dan berat kandungan yang tidak selari dengan standard ditetapkan.

Dr. Nur Atheefa Sufeena berkata, dari sudut perundangan, kajian itu turut merujuk kepada Akta Perihal Dagangan 2011 yang menetapkan keperluan berkaitan ketelusan dan integriti pelabelan sesuatu produk.
“Apa yang dibungkuskan dan apa yang telah dibekalkan harus selari dengan apa yang dilabelkan. Sekiranya berlaku tipu label, maka itu tidak memenuhi ataupun tidak mematuhi peruntukan yang telah disebutkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Katanya, perkara berkenaan perlu ditangani segera kerana ketirisan bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna, malah membabitkan perbelanjaan kerajaan dalam menanggung subsidi bagi menutup jurang antara harga siling dan harga pasaran.
Mengenai lokasi berlakunya ketirisan, beliau berkata, berdasarkan pemerhatian kajian, ia tidak berlaku secara menyeluruh di semua tempat, sebaliknya dikenal pasti berlaku secara tertempat.
“Dalam satu kes yang berlaku di Kuching, Sarawak pada Februari lalu, ia membabitkan pemeriksaan berat minyak masak paket yang dilabel seberat satu kilogram. Pemeriksaan mendapati berat sebenar produk berkenaan tidak mencapai satu kilogram,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, jurang harga antara minyak masak paket bersubsidi dan harga pasaran terbuka juga yang boleh mewujudkan ruang manipulasi.
Katanya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2025, terdapat jurang antara harga siling dan harga pasaran terbuka bagi barangan berkenaan.
“Cadangan penambahbaikan ini bukanlah satu perkara yang baharu. Saya serahkan kembali kepada kebijaksanaan kementerian ataupun agensi yang menguruskan berkenaan dengan solusi bagi mengatasi ketirisan ataupun jurang harga ini,” katanya. – UTUSAN










