Kenderaan dinaiki diplomat EU dibaling batu oleh sekumpulan

Kenderaan dinaiki diplomat EU dibaling batu oleh sekumpulan pelajar Palestin

SEORANG penunjuk perasaan mengibarkan bendera kebangsaan Palestin berjalan melepasi tentera Israel, semasa konfrontasi dengan mereka berikutan protes terhadap perampasan tanah Palestin oleh Israel di Tebing Barat yang diduduki, di kampung Kfar Qaddum, pada 9 Jun tahun lalu. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Sekumpulan pelajar Palestin dilaporkan membaling batu ke arah kenderaan yang dinaiki diplomat Kesatuan Eropah (EU) di Tebing Barat bagi membantah perang di Gaza.

Menurut saksi, cermin belakang salah sebuah kenderaan pecah.

Dikatakan diplomat EU ke wilayah Palestin sedang mengadakan pertemuan di Muzium Palestin yang meraikan sejarah dan budaya Palestin, di Birzeit dekat Ramallah ketika kejadian itu berlaku.

Seorang diplomat yang hadir memberitahu Reuters bahawa sewaktu kejadian, mereka sedang dalam mesyuarat apabila orang ramai muncul di luar memberitahu mereka untuk segera beredar.

Jelasnya, selepas percubaan dialog tidak berjaya, para diplomat turut beredar. 

Pengalaman itu tidak menyenangkan, tetapi tidak ada ancaman serius kepada mana-mana diplomat, katanya.

Video dalam media sosial kemudian menunjukkan orang ramai mengelilingi sebuah kereta dan memecahkan tingkap dengan membaling batu.

Amr Kayed, seorang pelajar dari Universiti Birzeit berkata, mereka memaksa diplomat EU keluar untuk menghantar mesej bahawa sesiapa yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai dan serangan ke atas Gaza, tidak dialu-alukan.

Wakil Jerman ke wilayah Palestin, Oliver Owcza berkata, beliau kesal kerana pertemuan itu terganggu.

“Namun begitu, kami tetap komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan rakan kongsi Palestin kami.

“Bantahan & dialog aman sentiasa ada tempatnya,” katanya di X.

Sebelum kejadian itu, pelajar Palestin menghantar mesej di Facebook menggesa bantahan terhadap kehadiran wakil Jerman itu berhubung sokongan negaranya terhadap Israel semasa perangnya dengan Gaza.

Jerman menjadi satu daripada sekutu Israel yang paling setia sejak serangan 7 Oktober lalu oleh pejuang Hamas yang membunuh 1,200 orang, menurut jumlah Israel. 

Lebih 34,535 rakyat Palestin terbunuh semasa serangan tentera Israel berikutnya, menurut pihak berkuasa kesihatan di kawasan terkepung itu.

Jerman juga dikatakan menjadi salah sebuah negara pengeksport senjata terkemuka ke Israel, menghantar 326.5 juta euro (AS$349 juta atau RM1.66 billion) dalam peralatan dan senjata ketenteraan pada 2023, menurut data Kementerian Ekonomi Jerman.

Keganasan di Tebing Barat yang meningkat sebelum perang, meletus dengan peningkatan serangan Israel dan serangan jalanan Palestin. 

Israel menawan Tebing Barat dalam perang Asia Barat 1967 dan kawasan itu telah berada di bawah pendudukan tentera sejak itu manakala penempatan Israel secara beransur-ansur berkembang. 

Rakyat Palestin membayangkan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara merdeka masa depan juga termasuk Gaza dan Baitulmuqaddis Timur. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN