Norjuma diisytihar bankrap - Utusan Malaysia

Norjuma diisytihar bankrap

MUHAMMAD Hassanuddin Roslan dan Zuriawati Zaidi menunjukkan petisyen kebangkrapan ke atas usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.

Pengisytiharan bankrap itu diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Siti Zulaikha Nordin berikutan kegagalan Norjuma selaku penghutang penghakiman melunaskan tuntunan berjumlah RM260,400 yang dibuat oleh syarikat Fame Up Entertainment pada 2022.

Peguam bagi pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, notis kebangkrapan itu difailkan pada 26 Oktober tahun lalu.

”Mahkamah telah mengisytiharkan Norjuma bankrap, buat masa sekarang kami akan teruskan dengan failkan perintah mahkamah dan Jabatan Insolvensi akan teruskan dengan proses kebangkrapan.

”Tiada peguam bagi pihak Norjuma dan dia juga tidak hadir ke Mahkamah Tinggi pada hari ini, notis telah diberikan kepada Norjuma, mahkamah juga telah keluarkan perintah, namun dia tidak hadir,” katanya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ialah pemilik syarikat Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi.

Sebelum ini, syarikat Fame Up memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Norjuma bagi menuntut usahawan selebriti berkenaan membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain itu, usaha untuk menahan Norjuma yang dikenakan waran tangkap oleh mahkamah juga gagal selepas dia tiada di kediamannya.

Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

Menurut Muhammad Hassanuddin, prosedur untuk waran tangkap masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

”Kami masih berkomunikasi dengan pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mahkamah Tinggi Shah Alam serta balai-balai berkenaan. Waran tangkap juga telah diserahkan kepada balai-balai berkenaan iaitu di Kuala Lumpur dan di Selangor,” katanya.

Tambahnya, pihak syarikat Fame Up juga mendapati Norjuma banyak mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan-tindakan yang diambil oleh syarikat itu adalah palsu.

”Kami percaya berdasarkan perintah yang dikeluarkan, tindakan yang diambil oleh syarikat Fame Up adalah betul dan ia masih berjalan di mahkamah.

”Kami harap Norjuma berhenti keluarkan kenyataan yang tidak betul lebih-lebih lagi melibatkan prosiding mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya