Guru paling ramai bankrap di Selangor

Guru paling ramai bankrap di Selangor

ISHAK Bakri merasmikan Program Literasi Kewangan anjuran Jabatan Insolvensi Melaka dan Negeri Sembilan di Politeknik Merlimau, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Golongan guru merupakan kumpulan tertinggi terlibat dengan kes kebankrapan di Selangor yang berpunca daripada pinjaman peribadi tidak terkawal.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Ishak Bakri berkata, kemudahan mendapatkan pinjaman berdasarkan pendapatan tetap menyebabkan mereka terdedah kepada beban kewangan sehingga akhirnya gagal melunaskan komitmen.

“Berdasarkan program literasi kewangan serta data terkumpul di Selangor menunjukkan kakitangan kerajaan merupakan antara yang tertinggi terlibat kebankrapan dan dalam kumpulan itu, guru adalah antara yang paling ramai, kebanyakannya disebabkan pinjaman peribadi.

“Pendapatan tetap dan kelayakan mudah mendapatkan pinjaman menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kewangan jika pengurusan tidak dibuat dengan baik,” katanya selepas merasmikan Program Literasi Kewangan anjuran Jabatan Insolvensi Melaka dan Negeri Sembilan di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.

Ishak berkata, pihaknya mengambil pendekatan lebih bersifat membantu berbanding menghukum, selari dengan dasar baharu yang menekankan peluang kedua kepada individu terkesan.

“Pendekatan insolvensi hari ini bukan lagi menghukum, sebaliknya membantu rakyat. Kita turun padang, mendekati golongan sasaran termasuk pelajar dan penjawat awam supaya mereka faham kepentingan kawalan kewangan.

“Melalui pindaan Akta Insolvensi 1967, kuasa pelepasan kini diberikan kepada Ketua Pengarah bagi mempercepatkan proses, khususnya untuk kes-kes yang benar-benar wajar,” katanya.

Ishak berkata, antara kriteria pelepasan automatik yang telah ditetapkan termasuk individu berusia lebih 70 tahun, orang kurang upaya (OKU) serta kes melibatkan masalah kesihatan mental yang disahkan panel perubatan.

Katanya, Malaysia antara negara terawal memberi perhatian kepada aspek kesihatan mental dalam kes kebankrapan dan disahkan menghadapi masalah mental, individu berkenaan boleh dilepaskan tanpa proses panjang.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkenalkan laluan pantas (fast track) untuk ibu tunggal yang membesarkan anak-anak, mangsa penipuan (scam) serta peminjam mikro, sebagai usaha memberi peluang kedua kepada golongan terkesan.

Katanya, negara berjaya mencapai sasaran melebihi 200,000 kes pelepasan kebankrapan pada tahun lalu, selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN