Jovian gagal ketepikan perintah kebankrapan

Jovian gagal ketepikan perintah kebankrapan

JOVIAN MANDAGIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen, Jovian Mandagie gagal dalam permohonannya untuk menggantung dan mengetepikan perintah kebankrapan yang dikeluarkan terhadapnya selepas gagal membayar pinjaman persahabatan (friendly loan) RM5.28 juta termasuk faedah, tahun lalu.

Peguam, Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat pembinaan kejuruteraan, Cekap Air Sdn. Bhd., syarikat yang memberi pinjaman tersebut, memaklumkan mahkamah turut memerintahkan bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu membayar kos sebanyak RM10,000.

“Mahkamah menolak rayuan bagi mengetepikan petisyen pemiutang dan untuk menggantung perintah kebankrapan dengan kos berjumlah RM10,000,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding yang dijalankan di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Jamhirah Ali, semalam.

Pada 2 April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin mengarahkan Jovian membayar pinjaman persahabatan terbabit selepas membenarkan permohonan Cekap Air selaku plaintif untuk memasukkan penghakiman terus terhadap pereka fesyen itu.

Pada 21 Mei 2024, syarikat itu telah memfailkan notis kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diberikan mahkamah pada 2 April tahun sama.

Pada 3 Julai 2025, Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah kebankrapan selepas membenarkan petisyen pemiutang difailkan syarikat ber­kenaan pada 20 November 2024.

Mengikut penyataan tuntutan yang difailkan sebelum ini, Jovian merupakan kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.

Pada 25 Februari 2022, Zhen Wei telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu dan atas dasar pinjaman persahabatan. Pinjaman tersebut sepatutnya dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Pinjaman tersebut dibuat secara lisan dan diberikan memandangkan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana lelaki berkenaan mempunyai beberapa perniagaan lain serta menantu kepada Ismail Sabri.

Pinjaman tersebut telah didepositkan ke akaun pelanggan sebuah firma guaman yang mewakili Jovian yang kemudiannya telah disahkan penerimaan wang tersebut oleh firma tersebut.

Cekap Air dalam afidavitnya turut menyatakan, Jovian tidak pernah menafikan atau mempertikaikan bahawa wang tersebut telah dipinjamkan oleh plaintif kepadanya.

Bagaimanapun, selepas di­serahkan notis tuntutan bertarikh 5 April 2023 kepada Jovian dan juga firma guaman yang mewakilinya, Jovian masih gagal, enggan atau cuai untuk membayar semula keseluruhan atau sebahagian pinjaman tersebut menyebabkan Cekap Air mengalami kerugian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×