SHAH ALAM: Pinjaman peribadi menyebabkan ramai penjawat awam bankrap, dengan guru merekodkan jumlah tertinggi bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Bagi tempoh berkenaan, sebanyak 197 daripada 200 kes bankrap direkodkan membabitkan pinjaman peribadi oleh penjawat awam dengan guru hampir satu perempat atau 46 kes.
Lebih membimbangkan, empat kes dilaporkan melibatkan hutang persendirian bernilai lebih RM4 juta sementara baki, 196 lagi kes antara RM100,000 hingga RM3.9 juta.
Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (Insolvensi) Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata, Selangor sehaja merekodkan sebanyak 18 kes bankrap membabitkan penjawat awam.
Kes tertinggi direkodkan di Sibu, Sarawak dan Melaka masing-masing sebanyak 23 dan 22 kes.
Bagaimanapun katanya, jumlah kes dilaporkan menunjukkan penurunan berbanding purata 800 kes setahun.
“Kita jangkakan sama ada jumlah tersebut turun sedikit atau mungkin statik pada purata 800 kes seperti tahun-tahun sebelum ini. Bagaimanapun, berdasarkan kepada nisbah kes berbanding dasar hutang minimum RM100,000, keadaan itu masih membimbangkan.
“Hal itu menunjukkan tahap keberhutangan yang serius. Kalau dahulu tahap RM50,000 pun sudah banyak kes. Apabila dinaikkan RM100,000 sejak 2021, jumlah kes meningkat, ramai yang bankrap,” katanya ditemui pada Program Literasi Kewangan, Impak Kebankrapan dan Dasar Peluang Kedua Insolvensi Selangor 2026, semalam.
Selain hutang peribadi, menyumbang lain kepada kepada kebankrapan membabitkan penjawat awam adalah pinjaman perumahan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan bank, pembiayaan kereta dan kad kredit.
Jelas Tengku Intan Suraya, pinjaman peribadi menjadi beban apabila seseorang itu membuat pinjaman bertindih (overlap) di atas hutang sedia ada menyebabkan mereka berada dalam kitaran hutang berpanjangan.
“Seorang penjawat awam cenderung untuk menerima tawaran daripada bank walaupun hanya menerima surat tawaran pekerjaan, belum lagi mendapat surat pengesahan jawatan.
“Dari sudut jantina, lelaki lebih ramai berdepan masalah tersebut berbanding wanita pada kadar nisbah dua lelaki, satu wanita, iaitu lebih 70 peratus. Kumpulan sokongan dan pelaksana yang sudah lebih 10 tahun dalam perkhidmatan adalah paling ramai terjebak,” katanya. – UTUSAN










