PUTRAJAYA: Sesi bersemuka bertemu rakyat antara cadangan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada calon-calon parti politik yang bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat badan itu pada 9 Februari ini bagi membincangkan gerak kerja pilihan raya negeri berkenaan selepas DUN Johor penggal ke-14 dibubarkan 23 Januari lalu.
Menurut beliau, faktor kelonggaran itu sebagai mengambil kira sejumlah 749,731 pengundi baharu termasuk undi18 tahun bakal mengundi kali pertama dalam PRN Johor sekali gus memberi peluang kepada bakal-bakal calon bertemu mereka dan memperkenalkan diri masing-masing.
Bagaimanapun beliau berkata, segala cadangan SOP akan diputuskan pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ini memandangkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
“Kita sedang meneliti segala SOP lain yang berkaitan bersama pihak Kementerian Kesihatan dan MKN termasuk dari segi kebenaran berkempen secara bersemuka dan sebagainya.
“Bagaimanapun memandangkan kita sudah berada di Fasa 4, mungkin boleh beri sedikit kelonggaran sekurang-kurangnya ada walkabout boleh bertemu pengundi bagi calon yang bertanding.
“Semuanya ini mengambil kira pengundi 18 tahun yang kali pertama mengundi dalam PRN Johor, calon boleh memperkenalkan diri kepada orang muda,” katanya di sini semalam.
Johor bakal menyaksikan seramai 2,599,797 juta pengundi aktif daripada keseluruhan kira-kira 3.52 juta penduduk negeri ini layak mengundi dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.
Berdasarkan data terkini SPR, jumlah itu disenaraikan sebagai Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diwartakan pada 17 Januari lalu.
Mengikut data tersebut, Johor merekodkan seramai 2.57 juta pengundi biasa terdiri daripada orang awam manakala seramai 10,958 pengundi tentera dan pasangan, serta 11,578 pengundi polis dan pasangan mereka.
Semasa PRN Melaka pada November tahun lalu, MKN dan Kementerian Kesihatan tidak membenarkan aktiviti seperti ceramah terbuka, walkabout, ziarah rumah ke rumah dan beberapa lagi aktiviti membabitkan perhimpunan bagi mengelak penularan Covid-19.
Dalam PRN Sarawak sebulan selepas itu, penganjuran ceramah secara fizikal hanya dibenarkan di kawasan DUN yang tidak mencapai jaringan dan liputan internet.










