'Larang warga asing naik bas Rapid KL bukan cadangan praktikal'

‘Larang warga asing naik bas Rapid KL bukan cadangan praktikal’

ANTHONY Loke Siew Fook (depan, kiri) ketika mencuba perkhidmatan bas elektrik semasa pelancaran bas berkenaan oleh Rapid Penang di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Cadangan melarang warga asing menaiki bas Rapid KL susulan aduan mengenai tingkah laku tidak senonoh segelintir penumpang disifatkan sebagai tidak praktikal kerana Malaysia bukan sebuah negara terpencil.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun, tindakan sewajarnya tetap akan diambil terhadap mana-mana penumpang yang melakukan perbuatan tidak senonoh atau mengganggu ketenteraman penumpang lain.

“Takkanlah sampai kita nak melarang warga asing naik bas. Kita bukan negara terpencil. Mana boleh kita melarang warga asing naik bas. Itu cadangan yang mustahil untuk dilaksanakan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bas Elektrik Rapid Penang di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas aduan pengguna tempatan mengenai tingkah laku segelintir warga asing yang didakwa melakukan vandalisme, menceroboh kemudahan Rapid KL serta melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam bas sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada penumpang lain.

Menurut beliau, bagi perkhidmatan bas, pemandu sendiri boleh mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat penumpang termasuk warga asing yang didapati mengganggu ketenteraman orang lain dengan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa.

Katanya, bagi perkhidmatan yang melibatkan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT) pula, bantuan boleh dirujuk terus kepada polis bantuan yang ditempatkan di semua stesen bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna.

Dalam perkembangan berasingan, Anthony berkata, laporan akhir mengenai hasil siasatan nahas helikopter FDS di Long Lellang, Sarawak akan disiapkan dan diterbitkan dalam tempoh setahun.

“Sekarang yang ada hanyalah laporan awal. Laporan akhir pula akan diterbitkan dalam tempoh setahun,” ujar beliau.

Laporan mengenai hasil siasatan nahas helikopter FDS sebelum telah itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri semalam dengan penemuan awal mengesahkan bahawa juruterbang yang terlibat memiliki lesen serta sijil perubatan sah. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini