AI berpotensi 'rampas' peralatan rumah

Anthropic beri amaran AI berpotensi ‘rampas’ peralatan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Model kecerdasan buatan (AI) mungkin berupaya menyusup masuk dan merampas kawalan  peralatan rumah, termasuk televisyen pintar dan ketuhar, menjelang akhir tahun ini, menurut amaran syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Anthropic.

Dalam laporan penyelidikan yang diterbitkan pada Isnin, syarikat yang terkenal dengan chatbot AI Claude itu berkata, hasil eksperimen menunjukkan model AI bersaiz kecil mungkin hanya memerlukan beberapa bulan lagi sebelum cukup berkeupayaan untuk mereplikasi diri pada peranti yang disambungkan ke internet tanpa bantu manusia.

Penyelidik memberi amaran ‘cacing AI’ sedemikian mungkin sukar dihapuskan kerana tiada satu titik kawalan berpusat yang boleh digunakan untuk menghentikan penyebarannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Anthropic, peranti rumah pintar amat terdedah kerana lazimnya mempunyai perlindungan keselamatan yang terhad.

Katanya, peralatan yang mempunyai kuasa pengkomputeran rendah seperti peti sejuk, ketuhar, pembersih vakum robot, mesin pemotong rumput, kamera keselamatan dan peranti lain yang dilengkapi cip AI terbina turut berpotensi menjadi sasaran.

“Berbeza daripada perisian hasad konvensional yang biasanya menyasarkan perkakasan atau perisian tertentu, AI yang mampu mereplikasi diri berpotensi menyesuaikan diri dengan sistem yang tidak dikenali dan menyampaikan teknik yang berjaya kepada salinan seterusnya.

“Jangkitan sedemikian boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, daripada kulat digital yang merebak secara perlahan merentasi peranti rumah hinggalah kepada ejen AI yang lebih berkuasa dan mampu menceroboh pusat data dengan pantas,” katanya.

Syarikat itu mengakui unjurannya masih belum pasti. Namun, peningkatan keupayaan sistem AI menjadikan ancaman replikasi dan penyesuaian kendiri secara autonomi semakin realistik.

Dalam laporan berasingan minggu lalu, Anthropic mendedahkan model Claude Haiku 4.5 menghantar laporan palsu kepada polis Philadelphia berhubung satu kes pembunuhan yang belum diselesaikan ketika menjalani ujian automatik.

Laporan itu ditandakan sebagai spam dan tidak pernah sampai kepada penyiasat. Bagaimanapun, polis mengkritik syarikat berkenaan kerana mengambil masa lebih dua bulan untuk mengesan dan melaporkan insiden itu.

Anthropic turut melaporkan beberapa kejadian model AI memintas sekatan akses dan mengeksploitasi kelemahan perisian ketika penilaian dijalankan, termasuk pada laman web kerajaan.

Syarikat itu berkata, insiden berkenaan hanya menyebabkan kemudaratan minimum, namun memberi amaran tingkah laku serupa boleh membawa kesan yang lebih serius apabila keupayaan AI terus meningkat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini