Harga maksimum ayam: Pengguna lega, sambut baik - Utusan Malaysia

Harga maksimum ayam: Pengguna lega, sambut baik

PENETAPAN harga maksimum runcit bagi ayam segar benar-benar melegakan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan memperkenalkan subsidi harga ayam memberi khabar gembira kepada rakyat negara ini ketika rata-rata masih ramai mengeluh mengenai kenaikan kos sara hidup.

Penetapan harga baharu runcit ayam pada harga RM8.90 sekilogram yang diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bermula kelmarin disambut baik masyarakat.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Chow Kit semalam mendapati, kebanyakan peniaga menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram sebagaimana harga maksimum runcit bagi ayam standard yang disarankan oleh pihak berkuasa.

Walaupun langkah kerajaan mengumumkan harga maksimum bagi ayam standard dikurangkan 20 sen itu tidak banyak, ia sudah mampu mengukir senyum di bibir pengguna yang ditemui Utusan Malaysia.

Rata-rata pengguna mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat ketika ini yang berdepan pelbagai kenaikan.

Menurut Mohd Arif Khan Sumitro, 36, langkah yang diambil kerajaan itu memang ditunggu-tunggu oleh pengguna ketika ini memandangkan harga ayam melambung tinggi sejak akhir-akhir ini.

MOHD ARIF KHAN SUMITRO

Katanya, walaupun harga yang ditetapkan hanya berkurangan 20 sen iaitu menjadi RM8.90 sekilogram ketika ini, ia tetap membantu pengguna terutamanya bagi yang membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Bagi saya langkah ini dapat menggembirakan rakyat dan sekurang-kurangnya ada penurunan berbanding harga lebih RM9 sebelum ini. Jika boleh, saya cadangkan kerajaan dapat mengawal lagi harga untuk bantu rakyat.

“Saya beli ayam ini seminggu sekali, memang harga melambung tinggi sebelum ini. Penjual ada maklumkan harga naik sebab kos di ladang, kita sebagai sememangnya mengeluh, jadi sekarang boleh senyum sedikit.

“Setiap kali beli ayam, saya akan ambil dua hingga ke tiga ekor untuk bekalan seminggu, jadi apabila turun 20 sen itu agak banyak juga penjimatan yang saya dapat, Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Media sebelum ini melaporkan, harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 kepada RM8.90.

Harga runcit RM8.90 ini merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa Perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Disember tahun lalu dan RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari lalu.

Kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam itu berkuat kuasa kelmarin setelah berakhirnya SHMKM sehari sebelumnya dan harga ini kekal sehingga 5 Jun depan iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga harga makanan lain yang berkaitan.

Seorang lagi pengguna, Wahab Hamdan, 39, berkata, harga ayam yang ditetapkan RM8.90 sekilogram bermula kelmarin itu lebih baik jika dibandingkan dengan harga-harga yang tidak stabil sebelum ini.

“Sebelum ini, tengok harga ayam pun ‘takut’ sebab sangat tinggi, sekarang RM8.90 sekarang boleh dikatakan stabil dan saya harap akan turun lagi seperti mana harga-harga yang rendah dahulu,” katanya.

Sementara itu, Musfirah Mustar, 29, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan berharap harga ayam dapat dikekalkan ataupun lebih rendah lagi selepas tamat tempoh penetapan pada Jun nanti.

MUSFIRAH MUSTAR

“Kalau boleh turun sedikit lagi saya rasa lagi baik, tetapi saya tetap bersyukur dengan harga yang ditetapkan sekarang. Langkah ini sangat membantu pengguna untuk membeli barangan yang diinginkan.

“Saya juga berharap kerajaan dapat mengawal harga barang-barang lain yang ketika ini boleh dikatakan naik mendadak. Ada juga barangan naik harga sehingga tidak masuk akal sehingga membebankan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Ramesh Nidu, 55, berkata, bagi pengguna, jika dapat harga seperti dahulu iaitu sekitar RM7 sebenarnya lagi baik baik namun, keadaan sudah berubah dan tidak boleh salahkan sesiapa.

RAMESH NIDU

“Dengan harga yang ditetapkan kerajaan sekarang, kita boleh menarik nafas sedikit. Memang tidak banyak, tetapi ada turun juga. Apabila harga turun, semua boleh makan ayam, sebelum ini ada yang berkira-kira untuk membeli.

“Macam saya, beli ayam seminggu sekali untuk keluarga sebanyak dua hingga tiga ekor. Apabila harga turun, boleh beli lebih sedikit. Saya harap selepas ini akan turun lagi, turun sedikit pun sudah memadai daripada tidak turun langsung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya