PETALING JAYA: Harga telur dan ayam akan diapungkan tidak lama lagi selepas kerajaan mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.
“Pengumuman berkaitan langkah-langkah konkrit lanjutan bagi subsidi berkenaan akan dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam masa dua minggu akan datang,” katanya ketika membentang Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam.
Menurutnya, bekalan ayam dan telur telah mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan.
Katanya, buat masa ini kerajaan akan mengekalkan subsidi bagi telur dan ayam bagi tujuan mengawal harga barangan keperluan tersebut daripada meningkat mendadak dan menangani kekurangan bekalan.
Tambahnya, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion ringgit untuk subsidi telur dan ayam. – UTUSAN










