Restoran Hameediyah masih kekal harga hidangan berasaskan ayam - Utusan Malaysia

Restoran Hameediyah masih kekal harga hidangan berasaskan ayam

RESTORAN nasi kandar tertua negara, Restoran Hameediyah di Pulau Pinang masih mengekalkan harga hidangan berasaskan ayam di kesemua rangkaian restoran tersebut walaupun subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Restoran nasi kandar tertua negara, Restoran Hameediyah di sini, masih mengekalkan harga hidangan berasaskan ayam di kesemua rangkaian restoran tersebut walaupun subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan bermula hari ini.

Pengurus Restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, setakat ini kesemua masakan berasaskan ayam tidak dinaikkan iaitu sekitar RM9 hingga RM10 mengikut jenis masakan.

“Ayam yang kita jual dipotong empat dan harganya masih sama setakat ini walaupun harga jualan ayam mentah tidak lagi dikawal kerajaan.

”Kami akan umumkan kepada pelanggan sekiranya berlaku kenaikan harga makanan di restoran, namun sekarang masih belum ada kenaikan harga di restoran kami,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak dapat menjangka sehingga bila harga ayam yang dijual di restoran berkenaan dapat dikekalkan kerana bergantung kepada harga ayam mentah yang diperoleh daripada pembekal.

“Harga ayam yang kami peroleh daripada pembekal setakat ini sekitar RM15 seekor dan harga ini tidak kekal kerana ia bergantung kepada harga pasaran.

”Kami berharap harga yang kami terima daripada pembekal tidak meningkat naik sehingga RM17 atau RM20 seekor selepas ini.

”Kalau kami terima harga daripada pembekal yang tinggi sukar untuk pihak restoran kekalkan harga jualan ayam kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak restoran akan membuat kiraan kos pada setiap bulan serta kiraan kos tahunan bagi melihat sama ada harga yang ditawarkan kepada pengguna selari dengan harga kos bahan mentah serta kos operasi.

”Kalau kiraan kita melihat ada kenaikan dari segi kos mungkin harga makanan terpaksa dinaikkan tetapi ia masih belum berlaku sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya