KOTA BHARU: Kos pembinaan rumah di atas tanah sendiri di Kelantan dianggarkan melonjak hampir dua kali ganda berbanding setahun lalu, ekoran harga barang asas binaan yang didakwa naik sehingga 100 peratus.
Budaya membina rumah di atas tanah sendiri selama ini sangat popular dalam kalangan penduduk negeri ini kerana murah. Misalnya, pada 2020, sebuah rumah batu dengan keluasan kira-kira 700 kaki persegi atau 65 meter persegi dianggarkan menelan kos RM50,000.
Hari ini, kos pembinaan rumah berspesifikasi sama yang paling rendah mampu ditawarkan pemaju adalah sekitar RM100,000 hingga RM140,000 sebuah, hampir dua kali ganda berbanding tahun lepas.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan, Datuk Samsuri Awang Mat yang berkata, sebelum pandemik, pemaju masih ‘berani’ menawarkan harga bawah RM100 bagi setiap kaki persegi.
Namun kata beliau, sejak Covid-19 melanda, harga bahan binaan naik berkali-kali hanya dalam tempoh setahun, menyaksikan pemaju sudah tidak mampu menyerap kos kenaikan dan terpaksa mengenakan caj RM140 ke atas bagi setiap kaki persegi.
“Pemaju di Kelantan bukan sahaja dibebani harga bahan asas yang ada antaranya naik 100 peratus lebih tinggi, malah berdepan kekurangan bekalan selain tidak dapat bekerja secara optimum akibat kekangan tenaga pekerja.
“Ini di Kelantan sahaja, bayangkan pula harga rumah di luar Kelantan? Jika kerajaan gagal menyekat kenaikan kos ini, pada masa akan datang harga rumah akan melambung tinggi dan membebankan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Semalam, muka depan akhbar ini melaporkan sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu, harga barangan membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus, sekali gus membebankan rakyat yang sudah sekian lama terhimpit.
Sementara itu, seorang kontraktor, Ariffin Mat, 64, berkata, kenaikan harga yang berlaku secara mendadak dengan margin yang besar boleh disifatkan sebagai tidak masuk akal, selain seolah-olah tidak dikawal oleh pihak kerajaan.
Katanya, apabila ditanya kepada pembekal punca kenaikan tersebut, rata-rata mereka memberitahu keadaan itu berlaku disebabkan harga minyak yang secara umumnya kian meningkat.
“Sebelum ini harga besi RM22 sebatang, kini RM38 sebatang manakala harga simen yang dulunya RM14 sekampit sudah jadi RM17.50 sekampit.
“Batu-bata sebelum ini RM200 bagi 1,000 keping pula naik jadi RM280 manakala harga pasir pula dulu RM200 selori menjadi RM300 selori. Ini belum ditambah kos pengangkutan yang turut naik,” katanya.
Menurut Ariffin, selain lonjakan harga bahan asas, kontraktor dan pemaju juga dibebani dengan kenaikan kos upah tukang yang kini mencecah RM120 sehari, berbanding hanya RM80 sehari sebelum musim pandemik.
“Kalau harga bahan binaan terus naik, kontraktor kecil akan gulung tikar kerana kami memang tidak mampu menyediakan modal untuk membeli barang. Selain itu, golongan berpendapatan rendah juga semakin tidak mampu untuk membeli atau membina rumah sendiri,” katanya. – UTUSAN











