Rakyat rindukan kepemimpinan BN - Najib - Utusan Malaysia

Rakyat rindukan kepemimpinan BN – Najib

NAJIB Tun Razak menjadi perhatian selepas menghadiri perjumpaan Jentera Pergerakan Wanita UMNO peringkat nasional dan negeri di Villa D'Acqua, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin agenda yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama amat dirindui oleh seluruh rakyat terutama penduduk di negeri ini.

Tegas Ahli Parlimen Pekan itu, sejak BN tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat sudah dapat menilai corak kepemimpinan sewaktu 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah dan begitu juga di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Mereka (rakyat) sudah boleh buat perbandingan tiga era pemerintahan itu. Saya begitu yakin rata-rata rakyat amat rindukan BN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya harap itulah yang berada di dalam benak fikiran dan minda seluruh pengundi di negeri ini yang diberi mandat untuk memilih parti mana yang layak untuk memerintah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Jentera Pergerakan Wanita UMNO peringkat nasional dan negeri di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Mengulas lanjut, Najib berkata, seluruh jentera parti di semua peringkat perlu bersedia berdepan apa juga rintangan dalam menghadapi PRN, tidak kisah sekiranya BN bertanding solo.

Jelasnya, beliau tidak mahu menyentuh soal kerjasama dengan mana-mana parti lain kerana keputusan itu adalah bidang kuasa Majlis Tertinggi (MT) untuk membuat keputusan.

“Walau apa sahaja saja keputusan, kita semua perlu bersedia dalam apa sahaja keadaan. Yang paling penting adalah BN perlu menang dan kembali mentadbir negeri ini,” ujarnya.

Najib yang terkenal dengan slogan “Malu Apa Bossku” diamanahkan untuk membantu Pengarah Pilihan Raya yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya dikehendaki untuk turun membantu kempen BN habis-habisan dan saya akan bekerjasama erat dengan Mohamad.

“Saya akan turun ke lapangan seperti mana yang dikehendaki oleh UMNO dan BN untuk berkempen, walaupun akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×