PRN Melaka: Rundingan PN, BN masih berjalan, elak tiga penjuru

PRN Melaka: Rundingan PN, BN masih berjalan, elak tiga penjuru

TUAN Ibrahim Tuan Man bergambar bersama Dr. Ahmad Yunus Hairi di hadapan Pejabat Pas Selangor di Presint Alami, Seksyen 13 di Shah Alam selepas merasmikan pembukaannya malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rundingan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masih dijalankan bagi mengelak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Rundingan itu melibatkan antara tiga parti utama kerajaan iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya masih mengharapkan pertembungan kerusi dapat dielak menjelang hari penamaan calon PRN kelak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita cuba elak tiga penjuru dan rundingan mengenainya sedang dijalankan ketika ini.

“Perkara itu dianggap perlu kerana ketiga-tiga parti hanya akan rugi jika bertembung sesama sendiri,” katanya selepas merasmikan Bangunan Pas Selangor di Seksyen 13 di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

PN baru-baru ini menyatakan kesediaan berdepan pertembungan tiga penjuru pada PRN itu jika BN terus berdiam diri mengenai kemungkinan kerjasama antara dua parti berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan pembangkang pada 20 November depan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan hari ini menyatakan parti itu tidak akan terburu-buru dan mendapatkan pandangan semua pihak dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) minggu ini sebelum membuat keputusan untuk bersama parti mana dalam PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, ketiga-tiga parti perlu terus bermuafakat bagi mengelak pertembungan dan masalah pembahagian kerusi.

“Jika boleh, Pas tidak mahu bertanding di kerusi yang dimenangi oleh UMNO atau Bersatu di Melaka.

“Saya juga akan berbincang mengenai perkara itu termasuk soal kerusi dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.

“Pas akur dengan arahan itu dan akan menggunakan media sosial sebagai saluran utama untuk PRN berkenaan kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×