Kerajaan Kedah tuntut royalti pajakan Pulau Pinang RM100 juta - Utusan Malaysia

Kerajaan Kedah tuntut royalti pajakan Pulau Pinang RM100 juta

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah berhasrat menuntut royalti pajakan Pulau Pinang berjumlah RM100 juta setahun untuk dimasukkan dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jumlah itu dirasakan sebagai sesuatu yang munasabah bersandarkan nilaian semasa dan bukanlah sesuatu yang terlalu besar untuk ditunaikan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, nilai royalti berjumlah RM10,000 setahun serta pemberian sumbangan khas berjumlah RM10 juta setahun kepada Kedah yang dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2018, dirasakan perlu dikaji semula.

“Saya fikir kalau kita minta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta buat penilaian spesifik terhadap tanah di Pulau Pinang serta Seberang Perai, nilainya mungkin lebih daripada RM100 juta. Mungkin boleh ‘pergi’ sampai RM400 atau RM500 juta.

“Katalah RM300 juta setahun sekali pun, kita cuma mohon RM100 juta saja. Janganlah ada yang marah pula kerana ini hanya permintaan yang turut didasarkan kepada sejarah dan nilai RM100 juta itu juga rasanya kecil bagi Kerajaan Persekutuan, tetapi besar nilainya buat Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sebelum ini, Kedah hanya menerima bayaran RM10,000 sebagai royalti pajakan Pulau Pinang namun pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju memberi sumbangan khas RM10 juta setahun kepada negeri ini.

Pemberian sumbangan khas tersebut bagaimanapun tidak langsung menggugat pemberian royalti bernilai RM10,000 yang diterima sebelum itu menjadikan nilai keseluruhan diterima Kedah adalah RM10,010,000.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, pembayaran royalti berjumlah RM10,000 setahun sebelum ini hanya didasarkan kepada perjanjian dibuat British dengan mereka pada awalnya menetapkan pembayaran berjumlah 10,000 dolar Sepanyol.

“British mula membuat pembayaran royalti pada 1786 dan perjanjian pada masa waktu tersebut menyatakan jumlah pajakan adalah 10,000 dolar Sepanyol. Ketika itu nilai mata wang Sepanyol lebih dominan jika dibandingkan dollar Amerika Syarikat (AS) tetapi selepas merdeka, tiba-tiba pembayaran royalti dibuat mengikut nilai Ringgit Malaysia (RM) pula.

“Saya dimaklumkan Sultan Kedah juga telah beberapa kali menyuarakan hal ini dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu serta telah membekalkan dokumen berkaitan pajakan Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan. Akhirnya pada 2018 tanpa ada apa-apa asas, kita diberi sumbangan khas berjumlah RM10 juta setahun.

“Kita tidaklah begitu rigid kerana yakin nilai semasa pajakan Pulau Pinang melebihi RM100 juta. Lagi pun pendapatan dihasilkan Pulau Pinang ketika ini pun banyak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya