KOTA BHARU: Pasar terapung atau floating market yang mula-mula diperkenalkan di Pulau Suri, Tumpat dan Lembangan Sungai Pengkalan Datu sejak dua tahun lalu, kini turut dibuka di Min House Camp, di sini.
Menariknya di situ, urus niaga antara pembeli dengan peniaga dibuat di atas Denai Sungai Pengkalan Datu, iaitu denai kayu dibina menyusuri sungai sepanjang satu kilometer yang tular di media sosial sejak setahun lalu.
Pengurus Min House Camp, Nur Muhammad Muhamad Zanini berkata, pasar tersebut dibuka pada setiap Jumaat dan Sabtu dan masih lagi di peringkat percubaan dengan pembabitan seramai 22 peniaga.
Kata beliau, ketika mula dibuka semalam (Sabtu), lokasi sekitar pasar terapung itu meriah dengan kehadiran hampir 500 pengunjung.
“Setakat ini, ada 22 peniaga sudah mendaftar untuk berniaga di atas bot milik syarikat Abam Peah & Marketing. Mereka berniaga makanan tradisi, kuih-muih, buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta kraf tangan.
“Pasar terapung ini akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad melibatkan sesi pagi dan petang. Sesi pagi bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari manakala sesi petang bermula pukul 4 hingga 7 petang,” katanya di sini semalam.
Kata beliau, pembukaan pasar terapung itu diharap dapat merancakkan sektor pelancongan domestik di negeri ini, di samping membantu peniaga yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 menjana pendapatan tambahan.
“Kesemua peniaga tersebut diberi keistimewaan kerana mereka tidak perlu mengeluarkan modal sewa bot atau sewa tapak kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan Min House Camp,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peniaga, Azlin Ali, 43, yang sebelum ini mencari rezeki di pasar malam mengakui teruja dapat berniaga nasi lemak dan laksa utara di pasar terapung buat pertama kali. – UTUSAN











