ASEAN, Jepun dicadang terokai pengeluaran vaksin Covid-19

ASEAN, Jepun dicadang terokai pengeluaran vaksin Covid-19

ISMAIL Sabri Yaakob ketika berucap secara maya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencadangkan kepada ASEAN dan Jepun meneroka kerjasama bagi menyokong pakar penyelidik melibatkan gabungan negara Asia Tenggara di dalam usaha ke arah pengeluaran vaksin di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha berkenaan akan membantu menangani kekurangan vaksin di rantau ini dan sebagai persiapan menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit baharu.

“Sumbangan Jepun untuk pusat ini adalah penting dan penubuhannya bertepatan pada masanya bagi membantu negara anggota ASEAN yang sangat memerlukan bantuan untuk mengurangkan kesan Covid-19.

“Memandang ke hadapan, ASEAN dan Jepun perlu meningkatkan kerjasama dalam pelbagai disiplin kesihatan untuk persediaan rapi rantau ini menghadapi kecemasan berkaitan kesihatan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24.

Sidang Kemuncak itu juga dihadiri Perdana Menteri Jepun yang baharu, Fumio Kishida membuat penampilan sulungnya sejak dilantik awal bulan ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia menghargai sokongan dan sumbangan Jepun terhadap Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN untuk mengurangkan kesan Covid-19 dan sumbangan vaksin Jepun kepada negara anggota ASEAN telah memberi sumbangan yang besar kepada usaha ini.

Selain itu, Perdana Menteri memberitahu ASEAN dan Jepun perlu mengukuhkan lagi kerjasama melalui Pusat Pembinaan Kapasiti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun.

Beliau berkata, Malaysia mengharapkan sokongan Jepun dalam pembangunan profesional keselamatan digital dan program pembelajaran sepanjang hayat yang dibangunkan oleh Malaysia yang bertujuan untuk membangunkan pembinaan kapasiti dalam keselamatan siber.

Kata Perdana Menteri lagi, Jepun kekal sebagai rakan setia ASEAN sejak 1973 dan blok 10 anggota itu menghargai sokongan serta bantuan negara itu selama ini yang telah menyumbang kepada usaha pembinaan komuniti ASEAN.

“Kami berharap untuk perkukuh lagi hubungan dialog ASEAN-Jepun. Malaysia menyambut baik cadangan Jepun untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak khas di Jepun pada 2023, untuk meraikan 50 tahun hubungan dialog,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya