KUANTAN: Boleh lepas dari polis tetapi tidak mungkin akan lepas dari jangkitan virus Covid-19.
Itu amaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada orang ramai yang mahu curi rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidiladha terutama yang menggunakan laluan tikus.
Beliau berkata, ketika kes jangkitan harian masih tinggi, rakyat perlu bersabar dan mengambil iktibar daripada kes yang berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Jadi saya harap itu menjadi iktibar kepada kita, walaupun kita pandai hendak lari daripada sekatan polis untuk balik ke kampung… saya sudah katakan, kita boleh lepas daripada polis tetapi kita mungkin tidak lepas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
“Saya harap kita semua mengambil iktibar daripada kes yang berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri dulu… ramai yang curi-curi balik. Ramai juga yang ikut lorong tikus, dan sebagainya.
“Jika kita lihat kes rentas negeri ini, kluster ini memuncak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri… kes di Terengganu misalnya seluruh keluarga dijangkiti dan ada yang meninggal dan begitu juga di Kelantan, ada kes yang sama.
“Jadi saya harap itu menjadi iktibar kepada kita, walaupun kita pandai hendak lari daripada sekatan polis untuk balik ke kampung… saya sudah katakan, kita boleh lepas daripada polis tetapi kita mungkin tidak lepas daripada jangkitan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian
Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini
Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat bersabar untuk aktiviti merentas daerah dan negeri kerana kebenaran itu akan diberikan setelah negara mencapai imuniti kelompok serta semua negeri berada pada fasa ketiga dan keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, dalam fasa kedua PPN ketika ini, kebenaran untuk rentas daerah dan juga negeri masih tidak dibenarkan oleh kerajaan.
“Selepas program vaksin ini dapat kita berikan kepada rakyat dan apabila imuniti berkelompok sudah pun diperolehi dan berada di fasa ketiga atau keempat maka rentas daerah dan rentas negeri akan dibenarkan.
“Jadi rakyat tunggulah fasa-fasa yang akan datang ini iaitu fasa tiga boleh rentas daerah dan fasa empat sudah boleh rentas negeri. Jadi sabarlah sedikit.
“Justeru saya ingin nasihatkan orang ramai perlu membuat kawalan kendiri dan menjaga diri bagi memastikan kita selamat daripada dijangkiti wabak Covid-19 ini serta tidak melakukan sebarang rentas daerah dan negeri,” katanya.










