Meerdink hadiah kemenangan pertama Xavi

Meerdink hadiah kemenangan pertama Xavi

Pemain tengah Belanda, Kenneth Taylor (kanan) dan penyerang Serbia, Luka Jovic bersaing mendapatkan bola dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah di Belgrade, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ELGRADE: Xavi Hernandez akhirnya meraih kemenangan pertamanya sebagai ketua jurulatih Belanda apabila dua gol Mexx Meerdink membantu Oranje menewaskan Serbia 2-1 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, semalam.

Selepas memulakan era baharunya dengan keputusan seri 1-1 menentang Jerman pada Khamis lalu, Xavi membawa Belanda ke Belgrade dengan misi memburu tiga mata dan pasukannya berjaya memenuhi sasaran menerusi persembahan yang lebih berkesan.

Kemenangan itu menyaksikan Belanda mengumpul empat mata daripada dua perlawanan Kumpulan A2, manakala Xavi mula merasai sendiri tekanan mengemudi pasukan berkenaan selepas dilantik menggantikan Ronald Koeman susulan penyingkiran Oranje pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya perlu jujur, kami boleh bermain dengan lebih baik, tetapi terdapat juga perkara positif. Saya gembira dengan sikap dan usaha yang ditunjukkan pemain.

“Selepas rehat, kami mula mendominasi, mencipta peluang dan lebih berpegang kepada posisi. Itu membolehkan kami menyerang ruang dalam pertahanan mereka dengan lebih baik.

“Saya gembira untuk Mexx. Bukan hanya kerana dia menjaringkan gol, tetapi kerana dia bekerja keras dan memastikan tekanan tinggi kami bermula. Dia sangat penting untuk pasukan ini,” katanya selepas perlawanan.

Pada aksi itu, Oranje memecahkan kebuntuan pada minit ke-30 apabila Meerdink menyempurnakan sepakan penalti untuk gol antarabangsa pertamanya selepas Crysencio Summerville dijatuhkan Aleksa Terzic.

Serbia bangkit selepas rehat apabila pemain gantian Luka Jovic menyamakan kedudukan kurang seminit selepas babak kedua bermula menerusi situasi kelam-kabut di depan gawang Belanda.

Meerdink sekali lagi menjadi pemusnah pada minit ke-69 menerusi rembatan kaki kiri ke penjuru bawah gawang bagi memastikan kemenangan menjadi milik Belanda.

Dalam aksi Kumpulan A4, Denmark bangkit daripada kekalahan kepada Norway apabila menewaskan Wales 2-0 di Copenhagen, manakala Austria mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi Kosovo 3-1 dalam saingan Liga B. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×