IZMIT: Zinedine Zidane membuka era baharunya bersama Perancis dengan kemenangan selepas Les Bleus menewaskan Turkiye 1-0 dalam aksi Liga Negara-Negara, semalam.
Kylian Mbappe muncul penentu kemenangan menerusi jaringan tunggal, namun kegembiraan itu sedikit tercalar apabila kapten Perancis berkenaan terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kesakitan pada lutut kirinya.
Kecederaan itu menimbulkan kebimbangan buat Perancis dan Real Madrid kerana Les Bleus masih mempunyai tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari sebelum saingan kelab kembali bersambung.
“Ia bukan perkara yang baik. Malangnya, saya fikir dia perlu pulang. Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko.
“Lututnya terlebih regang ketika melakukan rembatan. Ia tidak begitu bagus,” kata Zidane.
Mbappe dijangka kembali ke Madrid untuk mendapatkan rawatan, dengan Zidane tidak mahu mengambil risiko terhadap keadaan penyerang berusia 27 tahun itu yang kini turut membayangi penampilan pertama bekas legenda Perancis berkenaan sebagai pengendali.
Zidane, yang dilantik sehingga 2030 pada penghujung Julai lalu, kembali mengendalikan pasukan di pentas tertinggi buat kali pertama sejak meninggalkan Real Madrid pada 2021 dan tetap berpuas hati selepas Perancis mengutip tiga mata walaupun hanya menjalani tiga setengah sesi latihan bersamanya.
Perancis, yang tewas kepada Sepanyol pada separuh akhir Piala Dunia, kini akan meneruskan kempen Kumpulan A1 dengan bertandang ke Brussels menentang Belgium, Selasa ini. – AGENSI











