Sebab Emery digelar 'Raja Liga Europa'

Sebab Emery digelar ‘Raja Liga Europa’

Tonggak tengah Aston Villa, John McGinn menjulang trofi Liga Europa sambil diraikan rakan sepasukan selepas muncul juara menewaskan SC Freiburg pada perlawanan akhir di Besiktas Park, Istanbul, Turkiye, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Unai Emery bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai ‘Raja Liga Europa’, malah membantu Aston Villa menamatkan penantian 30 tahun untuk menjulang trofi apabila menewaskan SC Freiburg 3-0 dalam final Liga Europa di Istanbul, semalam.

Pengendali berusia 54 tahun itu mencipta sejarah apabila memenangi Liga Europa buat kali kelima selepas mengambil alih Villa pada penghujung 2022 ketika kelab itu bergelut di atas zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris

Dalam tempoh kurang empat tahun, dia berjaya membawa Villa kembali bersaing di kelompok atasan liga, layak ke Liga Juara-Juara Eropah dan kini menghadiahkan trofi pertama buat kelab itu selepas 30 tahun.

Corak permainan Villa di final jelas menggambarkan kekuatan pasukan kendalian Emery dengan disiplin taktikal, pertahanan mantap dan ketajaman jentera serangan.

“Kami semakin kuat tetapi kami sedang berusaha menjadi lebih berwawasan.

“Tahun depan kami akan beraksi di Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris adalah yang paling sukar di dunia. Ini adalah cabarannya,” kata Emery.

Untuk rekod, Villa menamatkan kemarau trofi sejak menjulang Piala Liga Inggeris pada tahun 1996 dan meraih gelaran Eropah pertama sejak menjuarai Piala Eropah pada 1982.

Penyerang Villa, Ollie Watkins, menyifatkan persembahan pasukannya sebagai luar biasa dan sememangnya layak bergelar juara.

“Kami benar-benar mengawal permainan dan menghukum mereka pada akhirnya. Pengalaman yang luar biasa. Inilah impian setiap pemain,” kata Watkins.

Seorang lagi tonggak Villa, Morgan Rogers, turut memuji ribuan penyokong yang hadir dari Birmingham ke Istanbul termasuk penyokong terkenal kelab itu, Putera William.

“Kami bekerja keras untuk semua ini. Kami tahu kami hanya ada satu lagi perlawanan untuk memberikan segalanya dan kami berjaya melakukannya.

“Ini detik hebat untuk penyokong dan kelab. Kami akan tercatat dalam sejarah,” kata Rogers.

Emery sudah memenangi Liga Europa bersama tiga kelab berbeza iaitu bersama Sevilla pada 2014, 2015 dan 2016, Villarreal pada tahun 2021 serta Aston Villa musim ini.

Menariknya, semua kelab yang dibimbing Emery ke kejuaraan itu mengandungi perkataan Villa. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN