Emery berang Anderson terlepas kad merah

Emery berang Anderson terlepas kad merah

UNAI EMERY - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOTTINGHAM: Pengurus Aston Villa, Unai Emery kecewa dengan tindakan pengadil yang tidak melayangkan kad merah kepada pemain Nottingham Forest, Elliot Anderson ketika pasukannya tewas 0-1 pada aksi pertama separuh akhir Liga Europa, semalam.

Gol kemenangan Forest dijaringkan penyerangnya, Chris Wood menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua selepas Lucas Digne memegang bola secara tidak sengaja, sekali gus memastikan kemenangan tipis tuan rumah di City Ground.

Emery bagaimanapun, berang apabila pemain tengah Forest, Anderson terlepas hukuman selepas melakukan terjahan keras ke atas Ollie Watkins pada separuh masa pertama.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) gagal mengesan insiden tersebut, sedangkan ia jelas berpotensi menyebabkan kecederaan serius.

“VAR amat, amat teruk. Ia jelas kad merah, saya tidak faham kenapa VAR tidak memanggil pengadil kerana ia sangat jelas. Kesilapan besar, VAR bertanggungjawab.

“Pengadil menjalankan tugas dengan baik, saya hargai cara beliau mengendalikan perlawanan selama 90 minit.

“Tetapi saya melihat semula insiden itu. Amat serius. Dia boleh patahkan buku lali. VAR di mana? Itu tanggungjawab anda, kami profesional. Ia jelas bagi setiap orang. Dia boleh patahkan buku lali. Ini tidak adil,” kata Emery.

Walaupun kecewa, Emery yakin Villa masih mampu bangkit untuk memburu final Eropah pertama sejak 1982.

“Selepas mereka menjaringkan gol, perkara paling penting adalah tidak hilang fokus dan kekalkan pelan permainan. Perlawanan belum tamat, ia bersambung minggu depan. Kami perlu bangkit,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengurus Forest, Vitor Pereira memuji semangat juang tinggi anak buahnya pada perlawanan tersebut.

Forest akan bertandang ke Villa Park bagi aksi kedua pada 7 Mei ini dengan misi mara ke final Eropah pertama sejak menjulang Piala Eropah 1980.

“Kami menukar pemain tetapi mengekalkan semangat dan mentaliti untuk menang. Penyokong sangat hebat dan banyak membantu kami. Aksi kedua nanti pasti sengit.

“Saya bangga kerana kami bermain dengan cara sendiri, menekan tinggi dan cepat menyusun semula pertahanan. Serangan balas Villa terlalu berbahaya, terutama apabila mereka mara ke kawasan pertahanan kami, ia satu cabaran besar,” kata Pereira.

Forest, yang pernah dua kali menjuarai Piala Eropah di bawah pengurus legenda Brian Clough, beraksi di separuh akhir Eropah buat kali pertama sejak musim 1983-84. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN