BIRMINGHAM: Impian Aston Villa untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terencat selepas tewas 0-1 kepada Everton, semalam.
Kekalahan itu juga menyaksikan rekod 11 kemenangan berturut-turut skuad kendalian Unai Emery di laman sendiri dalam aksi Liga Perdana berakhir.
Ekoran kekalahan itu, Villa kekal di tangga ketiga liga dengan 43 mata daripada 22 perlawanan, tujuh mata di belakang pendahulu, Arsenal yang kini memiliki kelebihan besar dalam perebutan kejuaraan.
Dalam aksi itu, Everton meraih gol kemenangan menerusi Thierno Barry pada minit ke-59 yang menyempurnakan bola muntah hasil percubaan Dwight McNeil.
“Kami mencipta peluang, tetapi tidak menjaringkan gol. Mereka mempunyai peluang lebih sedikit daripada kami dan menjaringkan gol. Mereka bersaing dengan hebat. Inilah Liga Perdana Inggeris.
“Mereka mempunyai pemain yang sangat baik dan kuat dari segi taktikal. Mereka layak menang. Kami perlu menganalisis perlawanan ini dan teruskan,” kata Emery.
Dalam aksi minggu ini, Arsenal menjadi satu-satunya pasukan dalam kelompok tiga teratas yang berjaya meraih mata selepas seri 0-0 dengan Nottingham Forest.
Tiada satu pun pasukan kelompok enam teratas sebelum hujung minggu mencatat kemenangan, dan tiada pasukan lima terbawah yang tewas.
“Ia sangat menakjubkan, kami bekerja keras menentang pasukan yang sangat baik. Pemain berjuang habis-habisan hari ini, kami mendapat peluang dan memanfaatkannya.
“Kami cuba menutup laluan hantaran dan menghalang mereka bermain melalui bahagian tengah, memaksa mereka bermain di bahagian tepi,” kata pemain tengah Everton, James Garner. – AGENSI/UTUSAN










