“SAYA rasa macam terbang!” Itu reaksi Nikita Burlak, 7, apabila ditanya tentang sesi belajar menunggang motosikal lasak yang disertainya.
Menunggang dalam kelajuan tinggi melalui ram membuatkan tayar motosikalnya tidak mencecah tanah, seolah-olah terbang. Pastinya bukan sahaja kanak-kanak seperti Nikita, orang dewasa macam kita pun kalau berpeluang melakukan sedemikian memang seronok!
Kakaknya, Sofia, 9, memberitahu, dia dapat belajar banyak perkara baharu dalam tunggangan seperti kedudukan badan yang betul ketika membelok dan membrek. Ini membuatkan dia teruja untuk memiliki sebuah motosikal lasak, mungkin sebagai hadiah Krismas pada tahun ini.
Nikita dan Sofia adalah antara sekumpulan peserta Sekolah Motosikal Lasak Muda (Youth Dirt Bike School) yang diadakan di Rawang, Selangor, baru-baru ini. Mereka seawal usia 5 tahun diajar teknik asas menunggang dan tunggangan defensif menggunakan motosikal lasak.

Ini amat berguna semasa mereka mahu memohon lesen memandu apabila sudah cukup umur nanti. Mereka sudah dilatih dan bersedia untuk menjadi seorang penunggang berhemah.
Tenaga pengajarnya pula bukan biasa-biasa tapi bekas juara FIM Asia Supermoto, Muhamad Habibullah Mohd. Saleh atau lebih dikenali sebagai Gabit.
Terdapat lima tahap untuk peserta iaitu dari pemula (beginner) hingga peringkat tinggi. Pemula biasanya berumur 5 dan 6 tahun manakala peringkat tinggi terdiri daripada peserta belasan tahun.
Aspek keselamatan sangat dititikberatkan termasuk mewajibkan pemakaian topi keledar dan pad perlindungan pada anggota badan. Peserta juga menjalani sesi panas badan selain pembelajaran teori sebelum masing-masing dibenarkan menunggang motosikal.

Bagi Mohamad Aakif Zarith, 10, menunggang motosikal lasak adalah lebih menyeronokkan berbanding basikal. Ini kerana ia banyak melibatkan pergerakan parkour iaitu mengatasi halangan fizikal di persekitaran.
Mohamad Alif Zidane, 12, pula mendapati agak mencabar menunggang di laluan berbatu terutama ketika menuruni bukit dengan laju. Namun katanya, dengan bimbingan jurulatih berpengalaman, banyak petua diperolehnya untuk mengawal motosikal dengan baik.
Dalam pada itu, Jurulatih Bertauliah Kev Enduro Park, Kevin Lee berkata, meskipun lasak, belajar menunggang di atas trek tanah dan rumput (off-road) adalah lebih selamat dan kurang memudaratkan kalau terjatuh.

“Kita dapat asah skil semasa motor ‘membuang.’ Kalau atas jalan, motor akan membuang kalau brek mengejut atau ada minyak tumpah. Skil itu yang kita ajar di sini. Atas rumput dan tanah, motor membuang dalam kelajuan rendah.
“Tapi kalau belajar atas jalan raya perlukan kelajuan tinggi. Silap-silap, kalau jatuh memang sakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam program yang turut mendapat kerjasama Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. itu, para peserta juga diajar tunggangan defensif dengan mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berwaspada terhadap persekitaran.
“Kami ajar mereka supaya sentiasa berhenti jika lampu isyarat merah. Kalau warna kuning bukan bermakna mereka perlu pulas lagi pendikit tapi bersiap sedia untuk berhenti.
“Fokus tunggangan juga bukan sekadar pada apa yang datang dari arah depan malah tengok bawah, belakang, kiri, kanan,” jelas Kevin.

Pada pandangan saya, ibu bapa seharusnya mengambil peluang untuk mendedahkan anak masing-masing dengan aktiviti lasak sebegini. Dengan pengawasan dan tunjuk ajar yang betul daripada tenaga pengajar bertauliah, ia baik untuk perkembangan kanak-kanak.
Lagipun ia memberikan pelbagai faedah fizikal, mental dan sosial yang mendalam untuk membentuk peribadi anak mereka agar lebih berkeyakinan dalam kehidupan harian. Sekali sekala daripada dibiarkan anak ‘hanyut’ dengan gajet tanpa bercampur gaul dengan rakan sebaya, eloklah bawa mereka ke sini. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Kevin di talian 012-3928818.











