Watkins pecah kemarau, Villa curi kelebihan di Lille

Watkins pecah kemarau, Villa curi kelebihan di Lille

WATKINS yang kelihatan tertekan sejak beberapa minggu lalu jelas melepaskan segala bebanan sebaik tandukan lambungnya hasil hantaran susulan Emiliano Buendia gagal diselamatkan penjaga gol Lille, Berke Ozer.-FB ASTON VILLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LILLE, Perancis: Penyerang Ollie Watkins akhirnya memecah kebuntuan jaringan apabila tandukannya memastikan kemenangan tipis Aston Villa 1-0 ke atas Lille OSC pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Europa UEFA awal pagi tadi.

Gol pada minit ke-61 itu menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa jaringan buat penyerang England berkenaan, sekali gus menghadiahkan kelebihan penting buat skuad kendalian Unai Emery menjelang aksi timbal balik di Villa Park, 19 Mac ini.

Watkins yang kelihatan tertekan sejak beberapa minggu lalu jelas melepaskan segala bebanan sebaik tandukan lambungnya hasil hantaran susulan Emiliano Buendia gagal diselamatkan penjaga gol Lille, Berke Ozer.

Ia merupakan gol kesembilan Watkins musim ini, namun hanya yang kedua dalam 13 perlawanan terakhir – satu statistik yang menjelaskan mengapa reaksi lega jelas terpancar pada wajahnya selepas jaringan tersebut.

Kemenangan di Stade Pierre-Mauroy itu turut menghidupkan semula keyakinan Villa yang sebelum ini bergelut dalam aksi domestik selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Lebih manis, kejayaan tersebut juga menandakan kemenangan ke-100 Emery sejak mengambil alih kerusi pengurus Villa.

Villa sebelum ini pernah menyingkirkan Lille pada suku akhir Liga Konferens UEFA musim lalu dan kini berada di landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian tersebut.

Kemenangan di Perancis itu hadir tepat pada masanya menjelang pertemuan getir menentang Manchester United pada Ahad ini, dalam usaha Villa mengukuhkan kedudukan bagi memburu slot ke Liga Juara‑Juara UEFA musim depan.

Selepas tiga dekad tanpa trofi utama, Emery kini berharap percikan magis di pentas Eropah mampu membuka semula lembaran kegemilangan buat kelab dari Birmingham itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN