Villa pesta gol di Villa Park

Villa pesta gol di Villa Park

OLLIE Watkins diasak pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate pada aksi Liga Perdana Inggeris(EPL) di Villa Park, awal pagi tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIRMINGHAM: Impian besar Aston Villa kini semakin nyata apabila skuad kendalian Unai Emery mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas membenam Liverpool 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris(EPL) di Villa Park, awal pagi tadi.

Lebih manis, kemenangan itu hadir ketika Villa sedang mengira detik menuju final Liga Europa, sekali gus membuktikan mereka bukan lagi pasukan pelengkap jadual, sebaliknya pencabar serius pentas Eropah.

Ollie Watkins  tampil garang dengan dua jaringan, sekali gus menghukum kelekaan benteng pelawat yang tampak longlai sejak sepak mula.

Villa terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Morgan Rogers empat minit sebelum rehat hasil gerakan licik sepakan penjuru pendek yang memperdayakan pertahanan Liverpool.

Pelawat cuba bangkit sejurus babak kedua bersambung apabila Virgil van Dijk menanduk masuk hantaran Dominik Szoboszlai untuk mengikat kedudukan, namun kebangkitan itu hanya bertahan seketika.

Liverpool kemudian menghadiahkan ruang buat Villa menghukum mereka apabila kesilapan Szoboszlai yang tergelincir di kawasan sendiri membuka laluan kepada Rogers untuk melorongkan bola kepada Watkins sebelum disudahkan mudah bagi mengembalikan kelebihan tuan rumah.

Villa terus menggandakan tekanan selepas situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru gagal disekat benteng Liverpool sekaligus Watkins pantas menyambar peluang untuk gol kedua peribadinya.

Ketika Liverpool masih tercari-cari rentak, kapten Villa, John McGinn melengkapkan malam indah tuan rumah menerusi rembatan padu ke penjuru atas gol, membuatkan Villa Park meledak kegembiraan.

Van Dijk sempat menjaringkan gol kedua Liverpool pada masa kecederaan, namun ia sekadar gol sagu hati ketika Villa sudah pun mula merancang perjalanan ke pentas elit Eropah.

Kekalahan itu bukan sahaja menyaksikan The Reds tercampak ke tangga kelima, malah kedudukan mereka ke Liga Juara-Juara masih belum benar-benar selamat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN