LONDON: Aston Villa menguatkan jentera serangan mereka apabila mengesahkan kemasukan semula Tammy Abraham dari Besiktas, langkah yang dilihat sebagai suntikan penting dalam kempen luar jangkaan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Penyerang England itu, kembali mewarnai saingan domestik selepas lima tahun berkelana di luar negara bersama beberapa kelab ternama termasuk AS Roma, AC Milan serta Besiktas, yang disertainya bagi tempoh enam bulan terakhir.
Kepulangan Abraham hadir pada waktu tepat apabila Villa kini muncul pencabar kejuaraan, hanya dibezakan empat mata dengan pendahulu liga, Arsenal.
Situasi tersebut menyemarakkan keyakinan penyokong Villa untuk melihat pasukan kesayangan mereka menamatkan penantian panjang menjulang kejuaraan liga utama buat kali pertama sejak 1981.
Di bawah kendalian Unai Emery, Villa turut dilihat sebagai antara pasukan berpotensi untuk melangkah jauh dalam saingan Liga Europa, sekali gus membuka peluang meraih trofi di pentas Eropah.
Villa dilaporkan membayar yuran perpindahan bernilai 18 juta pound (RM98.5 juta) untuk mendapatkan khidmat Abraham selepas Besiktas mengaktifkan pilihan menukar pinjaman pemain itu dari Roma kepada perpindahan kekal bernilai 11 juta pound (RM60 juta) awal bulan ini.
Penyerang berusia 28 tahun itu memiliki detik manis di Villa Park hasil tempoh pinjaman ketika bersama Chelsea sebelum ini.
Abraham meledak 26 gol dalam 40 penampilan untuk membantu Villa kembali ke EPL dari saingan Liga Kejuaraan.
“Ada kelab yang memberi makna besar dalam perjalanan karier anda dan kekal bersama anda. Saya menjaringkan gol, mengharungi cabaran dan berkembang sebagai pemain serta sebagai seorang insan.
“Saya kembali ke Aston Villa, bersedia bekerja keras dan memberikan segala-galanya,” kata Abraham.
Dia menyertai Besiktas pada Julai lalu dan menjaringkan 13 gol daripada 26 penampilan dalam semua pertandingan. – AFP/UTUSAN










