KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia akan terus dianjurkan di negara ini selepas kerajaan memberi ‘lampu hijau’ untuk menyambung kontrak sehingga 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, 2024 merupakan tahun kontrak berakhir penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia di Malaysia dan di atas faktor itu, kerajaan bersetuju menyambung kontrak dua tahun lagi dengan Liberty Media Corporation (pemegang hak penganjuran MotoGP).
“Kita masih belum ada peluang membuat pengumuman ini dan memandangkan ada yang bertanya, memang benar SIC telah dapat persetujuan daripada kerajaan.
“Sebelum ini, kontrak kita daripada tahun 2022 sehingga 2024 dan alhamdulillah kita dah dapat persetujuan daripada pihak kerajaan Malaysia untuk sambung sehingga ke tahun 2026,” katanya pada Sidang Media GP Malaysia 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, Pengerusi SIC, Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas, Siti Azlina Abdul Latif.
Mengulas mengenai jualan tiket GP Malaysia yang akan berlangsung pada 1-3 November ini di SIC, Shafriman memberitahu, setakat ini, sebanyak 50 peratus tiket telah terjual dan sempena bulan Merdeka diskaun sebanyak 25 peratus ditawarkan kepada orang ramai sehingga 20 September ini.
“Kita juga membawa kembali Tiket Rahmah yang berharga RM49.90 yang kita perkenalkan pada tahun lalu dan saya berharap bersempena ulang tahun SIC yang ke-25 kehadiran penonton dapat ditingkatkan kepada 200,000 orang,” ujarnya.
Jelas beliau, selain harga tiket berpatutan, SIC juga akan menganjurkan karnival serta membawa kembali konsert selepas perlumbaan yang mana artis antarabangsa dan tempatan dibawa khas bagi menghiburkan para peminat.
“Antara artis yang telahpun memberi persetujuan adalah kumpulan Smash, Mecklemore, Nidji, Feel Koplo, 6ixth Sense dan De Fam bagi barisan artis fasa 1, manakala, barisan artis fasa 2 bakal diumumkan pada September ini,” tambahnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tiket jemputan (wild card) untuk pelumba tempatan, Shafriman berkata, buat masa ini, pihaknya belum ada sebarang perancangan bagi membawa pelumba negara beraksi pada GP Malaysia melalui slot tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya, jika ada dana di bawa masuk untuk SIC berbuat demikian, maka, tidak mustahil peminat di negara ini berpeluang menyaksikan pelumba tempatan beraksi sama ada dalam kategori Moto2 atau Moto3. – UTUSAN










