SEPANG: Bahang Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 semakin dirasai apabila ribuan peminat sukan permotoran mula membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seawal pagi ini bagi mengikuti hari pertama acara perlumbaan berprestij dunia itu.
Tinjauan wartawan mendapati, aliran trafik di sepanjang Jalan Pekeliling KLIA menuju ke SIC secara keseluruhannya lancar meskipun jumlah kenderaan meningkat dengan ketara berikutan kehadiran peminat dari dalam dan luar negara.
Keadaan itu dibantu dengan kawalan rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditempatkan di setiap persimpangan utama sekitar KLIA dan Sepang bagi memastikan pergerakan lalu lintas berjalan lancar.
Di bulatan Masjid KLIA pula, anggota polis trafik dilihat berkawal dan mengawal pergerakan kenderaan yang memasuki laluan utama ke SIC, selain membantu melancarkan aliran trafik di beberapa laluan tumpuan.

Malah, laluan kontra khas turut dibuka bagi membolehkan bas perantara percuma yang membawa pengunjung ke SIC keluar masuk dengan lebih lancar tanpa mengganggu pergerakan kenderaan lain.
Selain itu, laluan khas turut disediakan untuk kegunaan kenderaan rasmi serta tetamu kenamaan yang menghadiri acara berkenaan.
Kelihatan orang ramai mula memenuhi kawasan sekitar litar sejak awal pagi bagi memastikan mereka tidak terlepas mengikuti sesi latihan bebas pertama dan kedua F1 yang berlangsung hari ini.
Turut berlangsung ialah sesi latihan Formula Trophy Malaysia yang menjadi perlumbaan sokongan sepanjang hujung minggu perlumbaan berkenaan.
Kehadiran peminat yang semakin ramai mencerminkan keterujaan orang ramai untuk menyaksikan kembalinya perlumbaan F1 ke Sepang selepas kali terakhir dianjurkan di litar berkenaan pada 2017.
Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini dengan sesi kelayakan dijadualkan esok sebelum perlumbaan utama pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak lima lokasi saringan ditetapkan bagi semua kenderaan yang menuju ke SIC.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, setiap kenderaan akan melalui pemeriksaan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum dibenarkan memasuki kawasan SIC.
Lima lokasi berkenaan melibatkan laluan dari arah Plaza Tol KLIA ke Jalan Pekeliling, dari arah KLIA 1 ke Jalan Pekeliling, Sebelum bulatan Masjid menuju ke SIC, dari arah Kota Warisan ke Lebohan Dagang menuju ke Jalan KLIA 1 dan Simpang Empat Jalan Kuarters KLIA menuju ke SIC (lampu isyarat Enstek). – UTUSAN











