SEPANG: Kepulangan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas hampir sedekad, berlangsung dalam suasana luar biasa apabila seramai 261,000 penonton hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan, sekali gus mencipta rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah litar berkenaan.
Daripada jumlah itu, 103,000 penonton direkodkan pada hari perlumbaan sahaja, menjadikan penganjuran Grand Prix Bahrain di Malaysia sebagai acara terlaris yang mencetuskan fenomena baharu buat SIC.
Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, kepulangan F1 ke Sepang membuktikan kuasa luar biasa sukan itu dalam menyatukan masyarakat serta memberikan pengalaman tidak dapat dilupakan kepada peminat dari seluruh dunia.
Menurutnya, kejayaan mencatat lebih 260,000 penonton itu menjadi bukti kemampuan semua pihak untuk bekerjasama dengan satu visi bagi menghasilkan penganjuran bertaraf dunia.
“Untuk tempoh dua bulan lalu, kami bekerja rapat dengan pasukan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dalam satu kerjasama erat, selain sokongan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi menjayakan perlumbaan bertaraf dunia ini.
“Pencapaian ini membuktikan apa yang mampu dilakukan apabila organisasi, komuniti dan rakan kerjasama bergabung dengan visi yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media selepas perlumbaan berakhir di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIC, Shaikh Salman Isa Al Khalifa pula memberitahu, penganjuran tersebut berjaya membawa Bahrain ke Malaysia, termasuk memperkenalkan budaya dan hospitaliti negara itu kepada peminat di rantau ini.
“Lebih 260,000 peminat hadir menyaksikan acara terbesar pernah diadakan di SIC dan kami amat berterima kasih atas semangat serta tenaga yang mereka bawa.
“Acara sebesar ini tidak mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh singkat tanpa kerjasama luar biasa SIC, selain sokongan F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Persekutuan Motor Bahrain dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM),” ujarnya. – UTUSAN











