SEPANG: Perlumbaan Moto3 ditangguhkan selama 1 jam 45 minit selepas kemalangan membabitkan juara dunia, Jose Antonio Rueda dan pelumba Switzerland, Noah Dettwiler sewaktu pusingan ‘sighting lap’ pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
‘Sighting lap’ merupakan pusingan yang disempurnakan pelumba bagi memeriksa keadaan trek sebelum saingan sebenar bermula.
Berdasarkan informasi MotoGP, kemalangan dipercayai berpunca daripada Rueda yang merempuh Dettwiler dari belakang sewaktu pelumba pasukan CIP Green Power itu sedang memperlahankan jenteranya di tepi trek.
Insiden malang itu turut memaksa steward perlumbaan menangguhkan saingan Moto3 selepas bendera merah dikibarkan.
Kemalangan tersebut juga menyebabkan perlumbaan Moto3 sebanyak 15 pusingan terpaksa disingkatkan kepada 10 pusingan sahaja.
Utusan Malaysia juga difahamkan, pelumba Red Bull KTM Ajo, Rueda dan Dettwiler yang sedar selepas kejadian telah diterbangkan ke hospital dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran. – UTUSAN








