PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengakui berasa gementar pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemain berusia 24 tahun itu berjaya melepasi halangan pertama selepas menundukkan wakil dari Afrika Selatan, Johanita Scholtz 23-21, 21-11 dalam aksi Kumpulan H di Porte de La Chapelle Arena, kelmarin.
Jin Wei berada di ranking ke-32 dunia bermula agak perlahan di set pertama berkata pada suatu ketika lengannya sukar digerakkan berikutan perasaan gementar menguasai dirinya.
“Sudah terlupa dalam dua atau tiga mata terakhir (ketawa). Ini adalah perlawanan pertama pada penampilan Olimpik pertama saya dan saya sungguh gementar. Lengan saya begitu kaku, saya sangat gugup.
“Sejujurnya saya fikir saya akan tewas di set pertama dan sudah bersedia untuk menghadapi set kedua. Bagaimanapun nasib menyebelahi saya dan berjaya memenangi set pertama dan seterusnya set kedua,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Hari ini, Jin Wei akan bertemu pemain dari Korea Selatan, Kim Ga Eun yang berada di kedudukan ke-17 dunia pada aksi terakhir kumpulan, hari ini.
“Saya memang menantikan perlawanan itu selepas kali terakhir saya bertemunya adalah dua tahun lalu. Saya tidak rugi apa-apa, hanya mahu menikmatinya,” katanya lagi.
Ga Eun turut menewaskan Scholtz ketika kedua-dua pemain tersebut bertemu pada 27 Julai lalu dan Jin Wei perlu menewaskan lawannya untuk muncul juara kumpulan sekali gus layak ke pusingan kalah mati.










