Sukan Para Asia: Keluarga azimat Zuhairie sumbang emas pertama negara

Sukan Para Asia: Keluarga azimat Zuhairie sumbang emas pertama negara

PELUMBA Berbasikal trek para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi menyumbang emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.-IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga menjadi pembakar semangat pelumba berbasikal trek para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi, untuk menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Zuhairie merealisasikan misi itu apabila menjuarai acara ujian masa 1,000 meter (m) lelaki kategori C4-C5 selepas mencatat masa terpantas 1 minit 5.361 saat (s) di Velodrom Izu, hari ini sekali gus menewaskan pencabar dari Thailand.

Pelumba kategori C5 itu mengakui tidak meletakkan wakil tuan rumah sebagai sasaran utama, sebaliknya memberi tumpuan kepada pencabar Thailand dan China.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, ketiadaan pelumba China menyebabkan perhatiannya terarah sepenuhnya kepada wakil Thailand.

“Saya datang ke sini bukan untuk pelumba tuan rumah. Saya tidak meletakkan sasaran kepada mereka kerana saya selalu berlumba dengan mereka.

“Jadi, saya fokus kepada Thailand dan China, tetapi pelumba China tidak datang. Saya memang sudah menetapkan dalam minda untuk menewaskan Thailand,” katanya kepada MSN.

Kejayaan itu menyaksikan Zuhairie menyingkirkan Jaturong Niwanti dari Thailand untuk menghadiahkan pingat emas sulung kontinjen negara dalam temasya empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun, Zuhairie tidak mahu terlalu lama meraikan kejayaan berkenaan apabila kini mengalihkan perhatian kepada usaha mengumpul mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.

“Kalau dapat mata ke Paralimpik, saya akan tampil lebih garang lagi,” katanya yang turut memberi tumpuan kepada perubahan peraturan pengumpulan mata kelayakan yang bakal berkuat kuasa tahun depan.

Selain berbasikal trek, Zuhairie turut dijadualkan beraksi dalam acara lebuh raya dengan sasaran peribadi untuk menamatkan saingan di podium, sekali gus berpeluang menambah koleksi pingat negara.

Sementara itu, skuad berbasikal trek para negara turut meraih gangsa menerusi Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara kejar-mengejar individu 3,000m lelaki kategori C1-C2 selepas merekodkan masa 3:52.930 saat.

Pingat emas acara itu menjadi milik pelumba tuan rumah, Kawamoto Shota, yang mencatat masa 3:35.031s, manakala wakil China, Liang Weicong, meraih perak dengan catatan 3:56.788s, melengkapkan kejayaan berganda skuad berbasikal trek para Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini