PETALING JAYA: Atlet para menembak negara, Parameswary Kasinathan, memasang misi untuk menembusi kelompok final dan memburu pingat pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menunjukkan perkembangan positif menjelang temasya itu.
Keyakinan itu hadir selepas Parameswary menduduki tempat ke-15 dunia dalam acara R2 10 meter Air Rifle Standing Wanita SH1 pada Kejohanan Dunia di Changwon, Korea Selatan, bulan lalu dengan catatan 617.8 mata.
Pencapaian itu menjadi suntikan semangat buat atlet berkenaan untuk meningkatkan prestasinya, sekali gus merealisasikan impian melangkah ke final apabila turun beraksi di pentas Para Asia.
Parameswary berkata, dia kini giat menjalani latihan harian dengan catatan mata yang semakin meningkat, namun mengakui kestabilan mental menjadi antara faktor penting untuk memastikan prestasinya kekal konsisten.
“Setiap hari saya menjalani latihan dan catatan mata juga semakin meningkat. Saya berharap dapat mengekalkan prestasi itu pada Sukan Para Asia nanti.
“Dari segi mental, saya perlu sentiasa tenang dan fokus kerana jika tidak stabil, prestasi boleh terjejas,” katanya.
Sementara itu, jurulatihnya, Saidatul Ashikin Roslan berkata, persiapan Parameswary berada pada landasan tepat berdasarkan tahap konsistensi yang ditunjukkan selepas pulang daripada Kejohanan Dunia.
Menurutnya, persiapan atlet itu turut memberi penekanan kepada aspek psikologi dengan bantuan Institut Sukan Negara (ISN), termasuk latihan visualisasi dan pengimejan mental bagi membantu meningkatkan fokus ketika pertandingan.
“Saya melihat konsistensi Parameswary berada pada tahap yang baik dan dia kini berada di landasan tepat.
“Harapan saya adalah untuk melihatnya mara ke final, membawa pulang pingat dan mengharumkan nama negara,” katanya. – UTUSAN











