KUALA LUMPUR: Permintaan domestik yang berdaya tahan, aktiviti pelaburan yang berterusan serta prospek eksport yang menggalakkan dijangka menjadi pemacu utama momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat 2026.
CGS International Securities Malaysia berkata, pertumbuhan ekonomi turut disokong oleh langkah bantuan kos sara hidup dan pendapatan, perkembangan sektor pelancongan serta momentum pelaburan yang kekal kukuh.
Menurut firma penyelidikan itu, kerajaan telah menaikkan had kelayakan bantuan elektrik dan bahan api, selain memperkenalkan bayaran sekali sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
Katanya, langkah berkenaan dijangka membantu mengurangkan tekanan kos isi rumah, meningkatkan pendapatan boleh guna dan mengekalkan perbelanjaan pengguna pada suku keempat tahun ini.
“Dalam sektor pelancongan, Malaysia merekodkan ketibaan 28.8 juta pelancong dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, berdasarkan data Tourism Malaysia, sekali gus berada di landasan untuk mencapai sasaran kerajaan sebanyak 47 juta pelawat menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dilanjutkan,” katanya dalam nota penyelidikan.
CGS International berkata, ketibaan pelancong dan perbelanjaan yang berterusan dijangka terus menyokong aktiviti sektor perkhidmatan.
“Pelaburan berterusan dalam semikonduktor, pusat data, infrastruktur digital dan projek peralihan tenaga dijangka menyokong pertumbuhan pelaburan swasta.
“Pertumbuhan pinjaman modal kerja meningkat kepada paras tertinggi rekod sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026, menunjukkan rancangan pengembangan korporat kekal utuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran,” katanya.
Dari segi perdagangan luar, firma itu menjangkakan permintaan luaran terhadap eksport Malaysia terus disokong oleh kitaran peningkatan industri semikonduktor yang didorong perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) mengunjurkan jualan semikonduktor global melebihi AS$1.6 trilion pada 2026, sekali gus memberikan prospek positif kepada pengeluar berorientasikan eksport di Malaysia.
Sementara itu, penganalisis perladangan firma berkenaan, eksport minyak sawit mentah (MSM) berpotensi meningkat susulan keputusan India mengurangkan duti import minyak sawit daripada 10 peratus kepada 5.0 peratus berkuat kuasa 24 September 2026.
“Harga minyak sawit yang lebih rendah turut dijangka meningkatkan daya saing komoditi itu berbanding minyak sayuran alternatif lain,” katanya.
Bagaimanapun, CGS International berkata, prospek pertumbuhan ekonomi masih berdepan risiko luaran, khususnya kemungkinan kelembapan kitaran teknologi global yang lebih ketara daripada jangkaan serta ketidaktentuan perdagangan yang kembali memuncak.
“Bagaimanapun, kami berpandangan risiko berkenaan dapat dikurangkan oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pengembangan pelaburan swasta yang berterusan, aktiviti pelancongan yang menyokong pertumbuhan serta kekuatan berterusan sektor pembuatan berorientasikan eksport.
“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 pada 5.5 peratus tahun ke tahun,” katanya. – UTUSAN











