Ollieyuddin pandai berlakon tidur mata terbuka

Ollieyuddin pandai berlakon tidur mata terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kononnya sedang lena, tetapi matanya masih terbuka. Gelagat pelik Ollieyuddin, si kucing Munchkin Kilt, bukan sahaja menghiburkan keluarga, malah mencuri perhatian netizen di media sosial.

Lebih mesra dipanggil Ollie, kucing jantan berusia tiga bulan itu dilahirkan pada 13 Mei 2026 dan merupakan kacukan baka Munchkin dan Scottish Fold.

Pemiliknya, Amira Aqila Ab Aziz, 30, berkata, Ollie bukan sahaja memiliki rupa comel dan kaki pendek, malah mempunyai pelbagai gelagat unik yang membuatkan dia sekeluarga tidak kering gusi melihat telatahnya.

Menurut Amira Aqila, antara perkara paling mencuit hati ialah gaya tidur Ollie yang seolah-olah sedang lena dibuai mimpi, namun matanya pula masih terbuka.

“Kadang-kadang kita tengok dia macam tengah lena sangat, siap dengan gaya pasrah dan selamba. Tapi bila tengok betul-betul, mata dia kadang-kadang terbuka.

“Ia macam pandai berlakon, kononnya tidur, padahal sebenarnya masih berjaga dan tahu apa yang berlaku di sekeliling,” katanya kepada Seri.

Gelagat tersebut sering dirakam oleh Amira Aqila dan dikongsikan di media sosial, sekaligus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang terhibur melihat gaya tidur luar biasa si bulus itu.

Malah, ada yang menggelarkan Ollie sebagai ‘kucing rosak’ kerana cara tidurnya yang dianggap tidak mengikut ‘standard’ kucing biasa.

“Ada masa nampak macam anak patung yang terlupa nak tutup mata,” katanya.

Bagi keluarga Amira Aqila, gelagat pelik itu menjadi antara keunikan Ollie yang membuatkan kehadirannya begitu istimewa di rumah.

Setiap kali Ollie menunjukkan gaya tidurnya, pasti ada sahaja gelagat baharu yang mengundang tawa dan menjadi bahan untuk dirakam sebagai kenangan.

Si kaki pendek yang aktif

Amira Aqila berkata, Ollie mula menjadi sebahagian daripada keluarga mereka pada awal Julai lalu selepas dia dan suami menemui kucing itu secara dalam talian melalui sebuah pet shop di Melaka.

Selepas berkenan dengan kecomelannya, Ollie kemudiannya dihantar terus dari Melaka ke kediaman mereka di Kuala Lumpur, sekaligus memulakan kehidupan baharunya bersama keluarga tersebut.

Sebelum kehadiran Ollie, Amira Aqila dan suami sudah mempunyai dua ekor kucing iaitu Ragdoll dan British Shorthair.

Katanya, minat terhadap baka Munchkin sejak sekian lama mendorong mereka membuat tinjauan di beberapa pet shop sebelum akhirnya jatuh hati kepada Ollie.

Walaupun memiliki tubuh kecil dan kaki pendek, Ollie sebenarnya sangat aktif bermain bersama kucing-kucing lain di rumah.

Jika pada awalnya Ollie menjadi mangsa buli kucing-kucing senior, keadaan kini sudah berubah apabila si kecil itu pula mula menunjukkan belangnya.

“Bila mula-mula sampai dahulu, Ollie yang kena buli oleh kucing lain. Sekarang nampaknya keadaan dah terbalik, ia pula yang suka membuli,” jelasnya.

Cara Ollie berjalan dan berlari juga menjadi antara perkara yang mencuit hati Amira Aqila, terutama apabila si bulus itu berlari mendapatkan keluarga untuk bermanja atau meminta makanan.

Manja dengan ‘Kakak Ollie’

Di sebalik sifatnya yang aktif dan nakal, Ollie mempunyai satu sisi yang cukup berbeza apabila bersama anak perempuan Amira Aqila, Sarah.

Malah, keakraban antara mereka membuatkan Sarah kini dikenali oleh netizen sebagai ‘Kakak Ollie’, seolah-olah gelaran itu sudah sebati dengan identiti mereka di media sosial.

Ollie yang biasanya ligat bermain dan berlari ke sana ke sini akan berubah menjadi sangat tenang apabila berada dalam pelukan Sarah.

Jika bersama dengan orang lain Ollie menunjukkan sifat nakalnya, bersama Sarah pula dia seolah-olah hilang tenaga dan pasrah sahaja apabila dipeluk, dibaringkan atau diajak bermain.

“Kalau Sarah yang pegang, Ollie boleh terus jadi lembik dan pasrah. Sarah boleh peluk, baringkan dan bermain dengannya macam anak patung, dan Ollie boleh relaks sahaja,” katanya.

Keakraban itu juga sering mencuri perhatian di media sosial apabila gelagat Sarah bersama Ollie dirakam dan dikongsikan kepada pengikut mereka.

Makan nombor satu

Kalau ada satu perkara yang paling pantas membuatkan Ollie muncul, jawapannya sudah tentu makanan.

Wet food merupakan antara makanan kegemaran Ollie dan dia selalunya menjadi antara yang paling awal datang apabila makanan dihidangkan.

Malah, bukan makan sendiri sahaja menjadi perhatiannya, Ollie kadang-kadang turut cuba menghabiskan makanan milik kucing-kucing lain di rumah.

“Kalau kami keluarkan wet food untuk kucing-kucing lain pun, selalunya Ollie antara yang paling awal datang dan kadang-kadang dia juga yang cuba menghabiskan makanan mereka,” katanya.

Selain makan, Ollie gemar bermain dan berlari ke sana ke sini bersama kucing-kucing lain sebelum akhirnya tewas kepada rasa penat dan tidur.

Antara kenakalan Ollie yang sukar dilupakan ialah tabiatnya memanjat badan sehingga ke muka keluarga.

Ollie kadang-kadang datang menghampiri muka seolah-olah mahu bermanja atau mencium sebelum tiba-tiba melarikan diri.

Walaupun nakal, gelagat tersebut menjadi antara perkara yang membuatkan keluarga mereka terhibur setiap hari.

Ollie pembawa rezeki

Baginya, Ollie bukan sekadar haiwan peliharaan, malah dianggap sebagai kucing pembawa rezeki.

Katanya, sejak kehadiran Ollie, banyak perkara baik berlaku dalam kehidupan mereka termasuk semakin ramai mengenali keluarga mereka menerusi media sosial selain menerima rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Sejak kehadiran Ollie, Alhamdulillah, banyak perkara baik berlaku. Lebih ramai mula mengenali kami dan ada juga rezeki-rezeki lain yang datang tanpa kami sangka.

“Kami melihat semuanya sebagai rezeki dan kebaikan yang Allah hadirkan melalui Ollie,” ujarnya.

Kehadiran Ollie memberikan warna tersendiri dalam kehidupan keluarga, terutama selepas seharian penat bekerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×