Rumah yang dihiasi pelbagai koleksi seni milik sendiri itu menyerlahkan identiti pemiliknya, malah setiap karya memainkan peranan penting membentuk keseluruhan estetika serta suasana ruang kediaman.
Bagi Muhammad Amir Amin Mohd Idris, pendekatan dekorasi yang digunakan berkonsepkan Urban Gallery Home serta Maximalist yang menampilkan ruang penuh dengan elemen visual.
“Kami suka ruang yang dipenuhi dengan banyak visual dan tidak kosong jadi sebab itu kami memilih konsep Urban Gallery Home atau Maximalist,” katanya yang sudah berkecimpung dalam industri seni rupa lebih sedekad yang lalu.
Dekorasi rumahnya berubah dan disusun mengikut perkembangan koleksi karya seni yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Oleh sebab itu, Amir tidak bermula dengan pelan dekorasi yang tetap atau terlalu terperinci sebaliknya membiarkan proses itu berkembang secara semula jadi mengikut masa.

Amir berkata, koleksi yang dimiliki merangkumi pelbagai jenis karya seperti lukisan, catan, lakaran serta objek kecil yang mempunyai nilai estetik tersendiri.
“Setiap koleksi ini saya tidak simpan tetapi memilih untuk mempamerkannya secara terbuka dalam ruang rumah untuk dilihat pada setiap hari,” ujarnya.
Katanya, idea untuk menggunakan konsep ini datang daripada keinginan untuk lebih menghargai dan melihat sendiri koleksi yang telah dikumpulkannya.
Dia juga turut merujuk banyak kediaman kolektor seni terkenal sama ada di dalam atau luar negara bagi mendapatkan inspirasi tentang cara susun atur karya dalam ruang rumah.
“Melalui rujukan tersebut, saya belajar bagaimana ingin mengimbangkan susunan karya supaya ruang tampak penuh tetapi masih tersusun rapi,” ujarnya.
Huni Seni
Nama tersebut dipilih kerana ia menggambarkan cara dia menghuni ruang bersama elemen seni dalam kehidupan harian.
“Seni bagi saya bukan setakat lukisan atau catan sahaja tetapi semua benda yang cantik dalam rumah,” katanya.
Ini termasuk perabot yang unik, tanaman hiasan, tekstil serta pelbagai elemen kecil yang lain bagi melengkapkan dan menghidupkan suasana di setiap sudut dan ruang di dalam rumah kami.
Dari segi kos pula, penggantungan karya merupakan antara perkara yang memerlukan perbelanjaan paling tinggi dalam proses dekorasi keseluruhan rumah berikutan kebanyakkan hasil seni dipilih untuk digantung ke dinding.
“Bagi menggantung karya, kami memerlukan perancangan yang rapi berikutan ia akan mempengaruhi keseluruhan ruang jadi dari segi kedudukan serta ketinggian sesebuah karya itu amat dititik beratkan,” katanya.
Amir juga akan menukar susunan karya secara berkala bagi setiap enam hingga ke lapan bulan bagi memberi nafas baharu kepada ruang rumahnya.
Perubahan ini akan menjadikan suasana rumah kekal segar dan tidak membosankan walaupun menggunakan elemen yang sama.
Ruang kerusi kuning
Amir berkata, antara ruang yang menarik dalam rumah ini ialah sudut membaca atau ruang santai yang direka untuk keselesaannya bersama keluarga.

Ia juga lebih menarik apabila gabungan sofa Husk dari B&B Italia yang berwarna kuning selain ia berada di bawah karya catan oleh Syukur Rani menyerlahkan lagi suasana serta menjadikan ruang tersebut lebih menonjol dan menarik perhatian.
Gabungan elemen ini bukan sahaja memberi keselesaan, malah mewujudkan satu ruang yang seimbang antara fungsi dan estetika dalam kediaman tersebut.
Tambah Amir lagi, dinding galeri atau Gallery wall juga merupakan antara bahagian yang utama dalam keseluruhan rumah ini berikutan di dinding tersebut dipenuhi dengan pelbagai karya yang disusun rapi dan menjadi fokus utama apabila tetamu datang kerumahnya.
Rumah baru, Dekorasi baru
Ujar Amir, perjalanan untuk dekorasi rumah dan mengumpul karya seni bermula sejak tahun 2017 namun pada ketika itu ruang yang ada agak sempit dan koleksi yang dimilikinya juga masih sedikit.
Pada tahun 2023, dia berpindah ke rumah baharu yang mempunyai ruang yang lebih besar memudahkannya untuk menyusun dan memberikan ruang yang lebih besar untuk dihias.
Katanya, koleksi seni yang semakin bertambah juga memerlukan ruang yang lebih sesuai untuk dipamerkan bagi menyerlahkan lagi keunikkan setiap hasil seni yang terdapat di rumahnya.
Huni Seni bukan sekadar tentang dekorasi rumah tetapi cara menjalani kehidupan harian selain menjadikannya pendekatan untuk menikmati seni dari pelbagai bentuk setiap hari.










