DEKORASI konsep Muji kini menjadi pilihan kebanyakan pemilik kediaman kerana ia menonjolkan gaya minimalis, dipadankan dengan penggunaan warna-warna natural yang konsisten bagi mewujudkan suasana rumah yang ringkas, kemas dan teratur.
Bagi Mohd Hardi Alias, pemilihan gaya estetik dari Jepun ini dilakukan secara terancang bagi memastikan suasana rumah sentiasa tenang tanpa lambakan barangan yang boleh mengganggu keselesaan visual setiap kali berada di dalam ruang tersebut.
“Saya memilih gaya Muji ini kerana minat terhadap aura Jepun yang ringkas, di penggunaan warna natural dan jumlah barang yang sedikit memberikan ketenangan kerana mata tidak serabut memandang,” katanya.
Proses transformasi ruang dalaman kediaman ini mengambil masa sekitar dua bulan untuk fasa asas, sebelum penambahbaikan aksesori dilakukan secara berperingkat berdasarkan rujukan trend dekorasi global yang ditemui melalui platform Pinterest.

Bagi Mohd Hardi, ruang paling kegemaran adalah kawasan multifungsi yang digunakan untuk pelbagai aktiviti harian seperti menonton televisyen, makan dan membaca buku dalam suasana yang mendamaikan hasil susun atur yang teliti.
Setiap kali sesebuah sudut berjaya disiapkan mengikut perancangan, ia memberikan kepuasan peribadi yang tinggi buat dia walaupun mengakui proses dekorasi ini tidak pernah berakhir kerana beliau sering mendapat inspirasi baharu untuk meningkatkan nilai estetik rumahnya.
Terapi minda pereka grafik
Memandangkan dia berkhidmat dalam bidang kreatif, aktiviti menghias rumah ini bukan sekadar hobi, sebaliknya dianggap sebagai medium penting untuk mengurangkan tekanan mental selepas seharian bergelut dengan tugasan di pejabat.
“Deko rumah ini merupakan satu bentuk terapi untuk saya meninggalkan sebentar rasa penat bekerja, memandangkan tugasan sebagai pereka grafik memang menuntut tenaga mental yang besar untuk memikirkan idea setiap hari,” jelasnya.

Kewujudan ruang yang selesa ini turut mempengaruhi rutin harian beliau yang kini lebih gemar menghabiskan waktu di rumah berbanding di luar memandangkan suasana kediaman tersebut sudah memenuhi segala kriteria keselesaan yang diinginkan.
Cabaran penjagaan minimalis
Dari sudut penjagaan, Mohd Hardi mengakui mengekalkan kebersihan tema warna putih dan beige mempunyai cabaran tersendiri namun ia tetap praktikal kerana tidak melibatkan banyak barangan untuk dikemas semula.
“Susah sedikit kerana warna putih dan beige mudah nampak kotor jadi perlu dibersihkan segera, namun ia tetap mudah dijaga kerana konsep minimalis ini tidak memerlukan banyak barang untuk disusun semula ketika mengemas,” katanya.
Setelah hampir melengkapkan dekorasi bahagian dalaman, dia kini memulakan fasa seterusnya yang melibatkan pengindahan laman sekitar rumah bagi memastikan keharmonian konsep Muji tersebut dapat dirasai secara menyeluruh.










