Dasar persaraan perlu fleksibel

Dasar persaraan perlu fleksibel

PERKARA yang lebih utama ialah memastikan pengalaman terus dimanfaatkan, ilmu terus diwariskan dan bakat baharu terus berkembang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk berusia 65 tahun dan ke atas kini mewakili 8 peratus daripada keseluruhan penduduk. Kelompok penduduk muda terus menunjukkan trend penurunan.

Kesannya akan dirasai dalam pasaran buruh, produktiviti, sistem perlindungan sosial dan pembangunan ekonomi pada tahun-tahun mendatang.

Persoalannya bukan lagi sekadar pada umur seseorang menamatkan perkhidmatan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana pengalaman, kepakaran dan bakat yang dibina selama puluhan tahun dapat terus dimanfaatkan.

Tumpuan bukan lagi sekadar menaikkan umur persaraan tetapi mencari keseimbangan antara mengekalkan tenaga kerja berpengalaman, memastikan kemampanan sistem persaraan dan membuka ruang kepada kemasukan bakat baharu.

Dalam konteks ini, pendekatan yang lebih fleksibel wajar diberi perhatian. Tujuannya bukan untuk membolehkan semua pekerja terus berkhidmat selepas mencapai umur persaraan wajib.

Sebaliknya, memberi ruang kepada organisasi mengekalkan individu tertentu berdasarkan keperluan perkhidmatan, prestasi, tahap kesihatan dan kepakaran yang sukar digantikan.

Yang ingin dipelihara bukan tempoh perkhidmatan tetapi kesinambungan ilmu, pengalaman dan keupayaan organisasi.

Di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membenarkan pelantikan semula pesara akademik secara kontrak berdasarkan syarat dan keperluan perkhidmatan.

Mekanisme ini membolehkan kepakaran kritikal terus dimanfaatkan, di samping menyokong proses pemindahan ilmu kepada generasi pelapis.

Pengalaman tersebut membuktikan fleksibiliti boleh dilaksanakan secara terancang tanpa mengubah umur persaraan wajib secara menyeluruh.

Namun begitu, pendekatan ini tidak boleh dilaksanakan tanpa kawalan yang jelas. Kriteria pemilihan mestilah telus. Tempoh pelantikan perlu mempunyai had. Prestasi pula hendaklah dinilai secara berkala.

Setiap pelantikan perlu disertai pelan penggantian yang sistematik supaya proses pemindahan ilmu berlaku secara berterusan. Dengan cara itu, kepakaran dapat dikekalkan tanpa menjejaskan peluang pembangunan dan kemajuan kerjaya generasi muda.

Perkara yang lebih utama ialah memastikan pengalaman terus dimanfaatkan, ilmu terus diwariskan dan bakat baharu terus berkembang.

Jika keseimbangan itu berjaya dicapai, Malaysia bukan sahaja lebih bersedia menghadapi realiti masyarakat menua, malah memiliki asas yang lebih kukuh untuk mengekalkan daya saing dan kemakmuran pada masa hadapan. – UTUSAN

FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN