PETALING JAYA: Bayi perempuan yang dilahirkan pada 2026 secara purata dijangka hidup 4.9 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki, masing-masing dengan jangkaan hayat 78.1 tahun dan 73.2 tahun.
Menurut Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2024-2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM, jangkaan hayat ketika lahir bagi bayi pada 2026 ialah 75.5 tahun.
“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2024 hingga 2026 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat terendah bagi tempoh sama.
“Terdapat tiga negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional iaitu 75.5 tahun pada 2026, iaitu Selangor (78.2 tahun), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (77.3 tahun) dan Wilayah Persekutuan Labuan (77.0 tahun),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut DOSM, jangkaan hayat ketika lahir pada 2019 meningkat 0.4 tahun berbanding 2016.
Jangkaan hayat lelaki meningkat 0.4 tahun daripada 72.1 tahun kepada 72.5 tahun, manakala jangkaan hayat perempuan turut meningkat 0.4 tahun.
“Bagaimanapun, jangkaan hayat ketika lahir pada 2022 menurun sebanyak 0.9 tahun dengan jangkaan hayat lelaki menurun sebanyak 1.0 tahun dan perempuan sebanyak 0.8 tahun berbanding 2020.
“Pada 2026, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan sebanyak 1.5 tahun berbanding 2023,” menurut kenyataan itu.
DOSM berkata, peningkatan jangkaan hayat itu disebabkan jumlah kematian yang menurun bagi tempoh 2023 hingga 2026 berbanding 2020 hingga 2022 yang menyaksikan lebihan kematian semasa pandemik Covid-19.
Sementara itu, lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2026 masing-masing dijangka hidup selama 59.0 tahun dan 18.9 tahun lagi.
“Ini bermakna, lelaki yang berumur 15 dan 60 tahun pada 2026 masing-masing dijangka hidup sehingga 74.0 tahun dan 78.9 tahun.
“Sebaliknya, perempuan dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.7 tahun dan 21.7 tahun lagi, iaitu dengan jangkaan hayat masing-masing 78.7 tahun dan 81.7 tahun,” katanya. – UTUSAN











