PETALING JAYA: Kadar pengangguran mencatatkan penurunan kepada 2.9 peratus pada November 2025 iaitu paras terendah sejak Disember 2014.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penganggur berkurangan sebanyak 0.1 peratus atau 500 orang kepada 518,400 orang berbanding 518,900 orang pada Oktober 2025.
Katanya, ia disokong oleh pertambahan peluang pekerjaan yang konsisten merentas pelbagai sektor utama ekonomi.
“Dalam tempoh sama, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus atau 32,400 orang kepada 17.09 juta orang berbanding 17.06 juta orang pada bulan sebelumnya.
“Nisbah guna tenaga kepada penduduk kekal pada 68.8 peratus, mencerminkan keupayaan ekonomi negara untuk terus mewujudkan pekerjaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DOSM berkata, daripada jumlah penduduk bekerja, 74.8 peratus dikategorikan sebagai pekerja bergaji, merekodkan pertambahan 0.1 peratus kepada 12.78 juta orang manakala bilangan pekerja sendiri juga meningkat 0.3 peratus kepada 3.26 juta orang.
Sementara itu, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan guna tenaga, khususnya dalam aktiviti kesihatan manusia dan kerja sosial, perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman.
“Bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu meningkat 1.6 peratus kepada 237 ribu orang, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat 2.7 peratus kepada 129.9 ribu orang, iaitu 0.8 peratus daripada jumlah penduduk bekerja.
“Bagi penganggur, 79.8 peratus ialah penganggur aktif yang sedang mencari pekerjaan dengan 64.4 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan.
“Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.1 peratus manakala belia 15 hingga 30 tahun mencatat 6.1 peratus,” katanya.
Katanya, angkatan buruh negara terus menunjukkan trend menaik dengan pertambahan 0.2 peratus atau 31,900 orang kepada 17.61 juta orang pada November 2025 manakala kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) kekal tidak berubah pada 70.9 peratus.
Jumlah penduduk di luar tenaga buruh meningkat sedikit kepada 7.22 juta orang dengan sebahagian besar terlibat dalam kerja rumah atau tanggungjawab keluarga (43.7 peratus) dan bersekolah atau menjalani latihan (40.8 peratus). – UTUSAN










