Penganggur dipenjara 7 tahun gara-gara cuba rompak kedai jam

Penganggur dipenjara 7 tahun gara-gara cuba rompak kedai jam

NG Peng Kim (kanan) diiringi oleh anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang atas pertuduhan cuba merompak sebuah kedai jam, minggu lepas.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang penganggur dihukum penjara tujuh tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba merompak sebuah kedai jam sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, minggu lepas.

Tertuduh, Ng Peng Kim, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba melakukan rompakan dengan sengaja sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Ong Soo Jin di premis Ban Hin Seng Watch Enterprise, Jalan Anson, di sini, kira-kira pukul 4.38 petang, 21 September lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memasuki premis berkenaan sambil membawa sebilah kapak dan cuba untuk merompak sebelum berlaku pergelutan antara dia dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan mangsa cedera pada tangan kanan. Tertuduh kemudian ditahan tidak lama selepas itu.

Sementara itu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, memohon agar hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan jenayah berkenaan yang boleh mengancam keselamatan serta nyawa mangsa.

Pada masa yang sama, Jun Keong juga mahu agar hukuman yang bakal dikenakan nanti menjadi iktibar kepada masyarakat agar mereka tidak mengulangi perbuatan yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun terhadap tertuduh termasuk tiga sebatan yang bermula hari selepas mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan rompakan bersenjata yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×