Upah pekerja di negara ini meningkat 4.3 peratus

Upah pekerja di negara ini meningkat 4.3 peratus

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 8.6 peratus daripada pekerja formal di negara ini menerima upah bulanan RM10,000 dan ke atas pada September tahun lalu berdasarkan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja formal warganegara yang menerima upah bulanan bawah pendapatan minimum RM1,700 juga berkurang kepada 13.5 mata iaitu 8.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Selain itu, sebanyak 10 peratus pekerja formal Malaysia terendah menerima upah bulanan sebanyak RM1,700 atau kurang setiap bulan, manakala pekerja formal dalam persentil ke-90 menerima sekurang-kurangnya RM9,000 setiap bulan.

“Perbezaan ini menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lima kali ganda upah daripada kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan terendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, median upah bulanan bagi 7.06 juta pekerja formal berjumlah RM2,864 pada September 2025, meningkat 4.3 peratus berbanding RM2,745 pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan upah itu katanya, seiring dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil, dengan bilangan pekerja formal meningkat 3.5 peratus pada suku ketiga 2025, sekali gus menunjukkan daya tahan berterusan pasaran buruh formal sepanjang suku ketiga 2025.

“Pekerja formal lelaki merekodkan median upah bulanan sebanyak RM2,900, lebih tinggi berbanding median upah bulanan pekerja formal perempuan sebanyak RM2,800,” katanya.

Sementara itu, analisis upah mengikut aktiviti ekonomi menunjukkan bahawa semua sektor mencatatkan peningkatan median upah bulanan pada suku ketiga 2025.

“Sektor Perlombongan dan pengkuarian mengekalkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,600 dengan peningkatan sebanyak 11.9 peratus berbanding suku sama tahun lalu, manakala sektor pertanian yang menyumbang 1.8 peratus daripada pekerja formal warganegara merekodkan median upah bulanan terendah pada RM2,245,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN